Utusan Borneo (Sabah)

Rasuah: Bekas Pembantu Pegawai Teknik Telekom dipenjara

-

ALOR SETAR: “Hang dah kerja elok-elok, apa hang buat ini melibatkan anak, isteri dan semua yang sayang hang,” kata Hakim Azman Abu Hassan kepada seorang tertuduh, Sukri Mat, 49 yang mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini Isnin.

Tertuduh, bekas Pembantu Pegawai Teknik Telekom Malaysia Berhad yang hadir di mahkamah tanpa kelibat anggota keluargany­a hanya tunduk mendengar nasihat daripada hakim itu agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

Bapa kepada tiga anak berusia 10 hingga 22 tahun itu dihukum penjara 12 bulan dan denda RM150,000 atas dua pertuduhan berasingan iaitu meminta dan memperoleh rasuah, dua tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta rasuah sebanyak RM20,000 daripada Badlishah Hamid, 47, melalui sistem pesanan ringkas (SMS) sebagai upah menyediaka­n anggaran sebut harga bagi kerja-kerja pengalihan kabel jenis tembaga dan fiber optik serta kerja berkaitan selain sebagai dorongan untuk memperakuk­an kerja disiapkan dengan sempurna dan memuaskan.

Badlishah menerima SMS tersebut semasa berada di pejabat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Sultan Badlishah dekat sini pada 11.04 pagi, 21 Sept 2015 dan kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, Sukri yang ketika itu memegang jawatan Pembantu Pegawai Teknik Telekom Alor Setar Selatan menerima rasuah wang tunai sebanyak RM10,000 daripada Badlishah atas kesalahan sama di Restoran Nasi Kandar Imran, di sini, pada 21 Sept 2015, kira-kira 2.50 petang.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia