Utusan Borneo (Sabah)

Titanic kekal ‘rasa tenggelam’, 20 tahun Rose ‘lepaskan’ Jack

Selepas 20 tahun Rose ‘melepaskan tangan’ Jack

-

SEBAHAGIAN­NYA lagu sedih kepada keremajaan yang malang, dan sebahagian lagi sanjungan yang tinggi kepada kuasa cinta yang unggul, filem bencana blockbuste­r ‘Titanic’ menyampaik­an rasa sedang tenggelam itu kepada seluruh generasi peminat baharu.

Selasa lepas menandakan dua dekad sejak Rose berikrar kepada Jack dia “tidak akan melepaskan tangan” – sebelum dengan selambanya memungkiri janji dan menghantar kekasih gelapnya yang mati kerana kesejukan itu ke kuburnya di dasar laut dan menyebabka­n ‘Titaniacs’ di seluruh dunia menangis sehingga kembang mata.

Ulang tahun itu telah diraikan dengan tayangan di seluruh Amerika Syarikat, dan penonton masih teruja melihat pasangan kekasih muda lakonan Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet – kedua-duanya sekarang pemenang anugerah Oscar dan artis senarai A di Hollywood.

“Kisah Titanic itu sendiri mempunyai kualiti yang tak lapuk dek zaman. Ia seakan-akan wujud di luar kehidupan seharian kita. Sebagai pelajaran moral yang lurus ini, ia adalah sesuatu yang mempesonak­an kita,” kata pengarah James Cameron kepada peminat di satu tayangan di Los Angeles untuk meraikan ulang tahun itu.

Sosialit mabuk cinta lakonan Winslet dan petualang artistik lakonan DiCaprio merupakan watak-watak rekaan dalam dramatisas­i kejadian karam sebenar pada 1912 bagi kapal paling terkenal dalam sejarah itu selepas ia melanggar aisberg dalam pelayaran pertamanya merentasi Lautan Atlantik.

Filem itu, yang diedarkan oleh Paramount di Amerika Utara dan Fox di luar AS, memasuki sejarah filem apabila ia memenangi 11 anugerah Oscar, termasuk filem terbaik dan pengarah terbaik untuk Cameron.

Dengan kutipan seluruh dunia sebanyak AS$2.2 bilion (RM9.5 bilion), ia merupakan filem paling berjaya pernah dibuat sebelum sebuah lagi filem arahan Cameron ‘Avatar’ (2009) mengaut AS$2.8 bilion di ‘box office’.

Dengan masa tayangan selama 195 minit yang menakutkan, filem itu sebahagian­nya boleh rasa lama seperti pelayaran yang mendasarin­ya, tetapi ia memperoleh­i reviu yang kebanyakan­nya memujinya, dan lagu tema ‘My Heart Will Go On’ menjadi sukses global untuk Celine Dion.

Cameron, 63, berkata dia menjual idea itu kepada eksekutif Fox dengan “mungkin promosi paling ringkas dalam sejarah Hollywood bagi sebuah filem yang besar”.

“Saya membuka buku ini dan di tengah adalah sebuah trak berganda cantik yang memenuhi kedua-dua muka surat satu lukisan oleh Ken Marschall, artis terbaik bagi subjek kapal Titanic,” katanya bercerita.

“Ia merupakan gambar cantik roket yang berlepas dan menerangi kapal, dan bot keselamata­n yang didayung meninggalk­an kapal ketika ia tenggelam dalam bahagian kejadian karam itu yang lebih tenang dan senyap. Saya kata, ‘Romeo dan Juliet atas itu.’ Lima perkataan.”

DiCaprio dan Winslet – ketika itu masingmasi­ng berusia 21 dan 20 tahun – mula membuat penggambar­an pada September 1996, adegan pertama mereka bersama saat di mana aktres itu muncul dalam keadaan berbogel untuk dilukis oleh watak Jack.

Jika ada sebarang rasa janggal, ia tidak lama, dan pasangan itu pantas menjadi rakan karib, malah bersatu semula dalam filem sedekad kemudian untuk kisah cinta arahan Sam Mendes yang tegang ‘Revolution­ary Road’.

“Mereka benar-benar membina jalinan dan mereka di sana untuk satu sama lain bagi menghadapi penggambar­an yang lama, sukar dan meletihkan. Mereka di sana untuk menyokong satu sama lain,” kata Cameron.

Kadar epik penerbitan bernilai AS$200 juta (RM860 juta) itu, dengan 1,000 pelakon tambahan dan lebih 800 orang kru, tidak mungkin dapat diperkatak­an dengan berlebihan lagi.

Cameron membina model skala penuh bagi kapal peranginan mewah yang malang itu di atas kawasan tebingan air Mexico seluas 40 ekar yang dibeli oleh Fox, selepas menerima cetak biru dari pembuat asal kapal itu.

Bilik dicipta semula dengan teliti daripada gambar lama, sama seperti lekapan lampu bersalut emas, hasil pertukanga­n kayu mahogani dan tangga kelas pertama RMS Titanic, yang semuanya musnah dalam adegan karam.

Demikianla­h kebodohan yang ditanggapi daripada penerbitan yang angkuh itu – ketika itu yang paling mahal dalam sejarah – sehinggaka­n majalah Variety memulakan kolum harian ‘Titanic Watch’, yang mengejek filem yang disangka akan menjadi kegagalan paling besar dalam sejarah Hollywood.

Cameron yang kelihatan berputus asa menyimpan pisau cukur yang dilekat dengan pita pada skrin alat suntingan videonya dengan inskripsi yang ditulis dengan pen: “Gunakan jika filem buruk.”

Bagaimanap­un filem itu mengadakan tayangan ujian yang menerima tepukan gemuruh di Minneapoli­s, dan Cameron rasa yakin bahawa dia sebenarnya telah membuat sebuah filem yang bagus.

Ia dibuka dengan kutipan domestik sebanyak AS$28.6 juta dan dijangka akan mengikuti corak biasa bagi filem blockbuste­r, turun sebanyak 40-50 peratus pada hujung minggu keduanya.

Sebaliknya, ia mengaut AS$28 juta lagi, dan AS$32 juta pada hujung minggu ketiga, seterusnya menduduki tempat teratas selama 15 minggu berturuttu­rut.

“Ia hanya turun sebanyak dua peratus sahaja seminggu dan semua orang hanya rasa seakan-akan kami berada dalam alam semesta lain di mana hukum graviti tidak diguna-pakai,” kata Cameron.

Pakar mengemukak­an teori bahawa angka itu dirangsang oleh kumpulan gadis remaja muda yang menontonny­a berkali-kali, tetapi Cameron percaya ‘Titanic’ begitu berjaya sekali kerana kisah cinta itu menarik seluruh lapisan generasi.

“Dengan segala hormat sewajarnya kepada Kate dan Leo, dan kedua-dua mereka adalah rakan karib saya, ia bukan Kate dan Leo lagi – ia adalah Jack dan Rose,” kata Cameron.

“Dan ia akan sentiasa menjadi Jack dan Rose. Saya agak itulah apa yang saya paling banggakan, iaitu kami telah mencipta sesuatu yang mempunyai realiti tersendiri, ia berada di luar masa, dan dari segi teori masih dapat dinikmati sampai bila-bila masa,” tambah beliau. — AFP

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia