Utusan Borneo (Sabah)

200 keluarga gembira anak terpilih Program Kembali Ke Sekolah TNB

-

SERAMAI 200 waris pelajar dalam kawasan Parlimen Alor Setar melahirkan rasa syukur apabila anak mereka terpilih dalam Program Kembali Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Mergong, Alor Setar, Selasa.

Bagi Ng Lay Cheng,

43, walaupun bantuan itu dilihat tidak besar nilainya oleh sesetengah pihak, namun beliau yang mempunyai anak kembar tiga perempuan berusia lapan tahun, ia sedikit sebanyak meringanka­n beban yang ditanggung ketika kos hidup yang semakin meningkat ketika ini.

“Kalau tak ada bantuan ini, teruk jugalah nak beli baju, buku sekolah lagi. Kena beli enam pasang untuk tiga kembar ini. Sepasang kasut sekolah RM25 dan kalau enam pasang sudah berapa. Sebab itu saya tidak melepaskan peluang ini dan hadir bersama anak-anak untuk menerima bantuan,” katanya ketika ditemui Bernama, Selasa.

Lay Cheng juga bersyukur kerana, tiga anaknya itu, Choo Xuan Ling, Choo Yao Ling dan Choo Yi Ling tidak kisah dan ikut serta untuk mencuba pakaian seragam yang disumbangk­an.

Bagi Nor Zurina Abdullah, 34 pula, beliau yang tidak bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan suaminya sebagai pemandu lori dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan berkata, bantuan ini dapat menampung kos membeli satu set lagi pakaian seragam untuk dua anaknya.

“Hari ini mereka dapat seorang satu set dan selepas ini ringanlah sikit beban untuk beli satu set lagi.

“Bantuan ini sangat membantu keluarga berpendapa­tan rendah kerana semua barang sekolah mahal sekarang. Bayangkan seorang anak saja dah mencecah RM200 untuk baju, beg, kasut, alat tulis dan belum termasuk yuran dan kos-kos lain lagi,” katanya yang bersyukur dengan bantuan tersebut.

Sementara itu, Pengurus Besar Perkhidmat­an Pelanggan TNB Kedah Ismail Lathifi Teh berkata program tanggungja­wab sosial korporat (CSR) ini terbukti membantu persediaan memasuki sesi persekolah­an yang baharu pada Januari depan.

Katanya hingga kini, TNB telah selesai memberi bantuan persekolah­an ke kawasan Parlimen Padang Terap, Langkawi, Alor Setar dan seterusnya Jerlun pada Khamis ini.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia