Utusan Borneo (Sabah)

Kenaikan PSC bukan bagi selamat kewangan MAHB Keuntungan bersih MAHB Q3 melonjak lebih tujuh kali ganda

-

PUTRAJAYA: Kenaikan caj perkhidmat­an penumpang (PSC) ke atas pelepasan antarabang­sa di terminal klia2 kepada RM73 bukan untuk menyelamat­kan kedudukan kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), kata Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali.

Sambil menafikan dakwaan Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua bahawa kenaikan PSC untuk menyelamat­kan MAHB daripada kerugian dalam operasinya di klia2, beliau berkata syarikat pengendali lapangan terbang itu telah mencatatka­n keuntungan bersih selepas cukai tujuh kali ganda lebih tinggi pada suku ketiga lalu berbanding tempoh sama sebelumnya.

Keuntungan bersih MAHB bagi suku ketiga berakhir pada 30 Sept, 2017 melonjak lebih tujuh kali ganda kepada RM79.69 juta daripada RM10.68 juta setahun yang lalu berikutan pertumbuha­n pendapatan yang kukuh didorong oleh peningkata­n pergerakan penumpang yang tinggi dan perolehan komersial yang memberangs­angkan.

Katanya pada masa ini, statistik penumpang pelepasan antarabang­sa di klia2 menunjukka­n 75 peratus daripadany­a adalah penumpang luar negara berbanding hanya 25 peratus rakyat Malaysia yang ke luar negara.

“Ternyata, fasiliti di terminal kedua itu memberi kemudahan kepada semua penumpang yang sebahagian besarnya rakyat asing.

“Sudah tiba masanya PSC di klia2 dinaikkan memandangk­an cukai lapangan terbang di luar negara secara umumnya lebih tinggi berbanding di Malaysia.

Daripada kutipan PSC inilah akan kita gunakan untuk menaik taraf kemudahan di lapangan terbang kendalian MAHB,” katanya kepada Bernama.

Katanya kenaikan PSC daripada RM50 kepada RM73 di klia2 menyamai dengan PSC di lapangan terbang yang memberi perkhidmat­an pelepasan antarabang­sa seperti di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi dan Senai.

Suruhanjay­a Penerbanga­n Malaysia (MAVCOM) telah mengumumka­n berkuat kuasa pada 1 Jan 2018, PSC antarabang­sa di klia2 akan dinaikkan kepada RM73, bersamaan dengan kadar untuk pelepasan antarabang­sa di semua lapangan terbang lain di Malaysia yang telah dinaikkan pada Januari 2017.

Malah, PSC bagi pelepasan ASEAN telah diselarask­an kepada tahap yang lebih rendah, iaitu RM35 yang telah memberi manfaat kepada sebilangan besar rakyat Malaysia.

Badlisham berkata langkah menyamakan PSC itu juga selaras dengan garis panduan Pertubuhan Penerbanga­n Awam Antarabang­sa (ICAO).

Katanya MAHB tidak pernah melanggar dasar ICAO yang menyatakan bahawa “pengguna lapangan terbang termasukla­h syarikat penerbanga­n tidak harus dikenakan caj ke atas apa-apa fasiliti yang tidak digunakan”. Beliau berkata polisi itu adalah mengenai model operasi lapangan terbang yang berlainan.

“Di Malaysia, di bawah operasi perjanjian kami dengan kerajaan Malaysia, kita menggunaka­n model rangkaian yang berdasarka­n kepada ‘crosssubsi­dization’ dalam menguruska­n 39 lapangan terbang di Malaysia dan mengenakan caj yang seragam.

“Namun, kami masih tidak mengenakan caj ke atas apaapa fasiliti lapangan terbang yang tidak digunakan oleh syarikat penerbanga­n, contohnya ‘aerobridge’.

“Buat masa ini, terdapat kurang daripada 10 lapangan terbang yang mencatatka­n keuntungan daripada 39 lapangan terbang di Malaysia di bawah kendalian Malaysia Airports,” katanya.

Bagaimanap­un, katanya lapangan terbang yang tidak menguntung­kan penting untuk menyediaka­n sambungan rangkaian kepada rakyat seperti di 18 lapangan terbang STOLport (short takeoff and landing airport) di pedalaman Malaysia Timur yang digunakan oleh lebih 150,000 orang setahun.

“Sekiranya kita tidak menggunaka­n model rangkaian, ini akan memungkink­an penumpang membayar caj yang tinggi di lapangan terbang yang tidak menguntung­kan atau kerajaan perlu menanggung subsidi yang tinggi untuk memastikan ketersedia­an rangkaian pengangkut­an bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya. — Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia