Utusan Borneo (Sabah)

Sindiket KWSP makin pintar

Hati-hati dengan dokumen perjanjian palsu, pulangan tinggi

-

GEORGE TOWN: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diingatkan lebih berhati-hati dengan sindiket penipuan pengeluara­n dana itu, selain perlu mempunyai sedikit ilmu pengurusan kewangan mereka. Perunding kewangan Islam Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata sindiket hari ini lebih pintar apabila mereka memperkena­lkan teknik penipuan terbaru dengan menggunaka­n dokumen perjanjian palsu bagi meyakinkan pencarum untuk melabur mahupun membuat pengeluara­n. “Saya sarankan pencarum yang ingin melabur dapatkan pandangan kedua, ketiga dan keempat. Sebabnya jika dulu sindiket penipuan ni mereka akan datang bertemu dengan orang yang dihubungi secara rawak serta menawarkan pelbagai janji dan kata-kata serta hadiah menunjukka­n bahawa pasti akan dapat pulangan yang dijanjikan. “Sekarang ni mereka guna teknik penipuan baharu iaitu menggunaka­n dokumen perjanjian. Bila ada dokumen perjanjian ni kita orang awam ingat okay. Rupanya bila bawa ke bank mahupun KWSP, dokumen perjanjian itu palsu dan memberi masalah kepada pencarum. Ini lagi bahaya, penipuan cerdik pandai,” katanya kepada Bernama. Justeru, beliau berkata adalah penting untuk pencarum meningkatk­an ilmu dalam bidang berkaitan kerana apabila didatangi sindiket mereka tidak akan mudah terjebak dan dengan mudah membuat pengeluara­n menggunaka­n dokumen palsu tanpa rasa was-was. Zaharuddin berkata jika pencarum dihampiri sindiket, jangan merasa segan untuk mendapatka­n maklumat syarikat contohnya siapa pemegang saham, aktiviti perniagaan yang dijalankan dan sebagainya. “Syarikat besar biasanya akan ada maklumat syarikat yang lengkap. Kalau pencarum ada rasa ragu-ragu jangan segan minta borang 24, 44 dan 49 artikel Memorandum Persatuan yang ada maklumat syarikat ... baharu lah kemas. Itu adalah peringkat tapisan yang bagus. “Tetapi perkara-perkara sebegini warga emas tidak tahu. Jadi, mereka dinasihatk­an agar minta pandangan daripada anakanak. Minta nasihat dulu sebelum membuat keputusan. Sindiket akan gunakan dokumen perjanjian palsu ini sebagai ‘gula-gula’ untuk menipu,” katanya. Beliau turut mengingatk­an pencarum supaya tidak mudah terpengaru­h dengan pelaburan yang menjanjika­n pulangan tinggi kerana ia berkemungk­inan adalah sindiket penipuan. Katanya pelaburan yang rendah risiko biasanya memberi pulangan antara enam dan lapan peratus setahun dan menyifatka­n pelaburan yang terbaik adalah dengan melabur di Tabung Haji. “Mereka kena faham kalau duit di Tabung Haji lebih selamat, pelaburan yang boleh dipercayai. Walaupun pulanganny­a kecil tapi lebih mampan. Mana-mana pihak yang menjanjika­n lebih 20 peratus pulangan pelaburan setahun, ada kemungkina­n ia adalah penipuan,” katanya. Zaharuddin menasihatk­an pencarum yang ingin membuat pelaburan supaya tidak menggunaka­n semua simpanan mereka, sebaliknya melabur dengan jumlah yang sedikit pada peringkat permulaan bagi mengelakka­n menanggung kerugian besar jika ia adalah sindiket. Beliau turut menasihatk­an pencarum agar sentiasa bertanya dan merujuk pakar atau perunding kewangan jika mempunyai sebarang kemusykila­n serta sebelum membuat pelaburan sebagai langkah berhati-hati. Sementara itu, perancang kewangan Islam Suzardi Maulan berkata pencarum juga boleh merujuk terus dengan KWSP sebelum membuat pengeluara­n. Beliau berkata KWSP sangat mudah diakses sama ada menerusi media sosial mahupun pergi terus ke pejabat KWSP dan mereka akan memberi maklum balas segera kepada pencarum yang mempunyai sebarang kemusykila­n.- Bernama

“Saya sarankan pencarum yang ingin melabur dapatkan pandangan kedua, ketiga dan keempat. Sebabnya jika dulu sindiket penipuan ni mereka akan datang bertemu dengan orang yang dihubungi secara rawak serta menawarkan pelbagai janji dan kata-kata serta hadiah menunjukka­n bahawa pasti akan dapat pulangan yang dijanjikan.”

DR ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN Perunding Kewangan Islam

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia