Utusan Borneo (Sabah)

Sinar baharu anak autisme pelajari al-Quran

-

KUALA LUMPUR: Menghantar anak ke pusat tahfiz bagi mendalami alQuran seakan menjadi trend buat ibu bapa pada masa kini tetapi ia tidak mudah bagi mereka yang mempunyai keinginan sama dengan anak penghidap autisme. Ini kerana sifat tersendiri anak-anak autisme yang mudah memberonta­k, suka menyendiri dan terlalu aktif berbanding kanak-kanak biasa menjadi halangan terbesar bagi ibu bapa yang sudah semestinya mahu melihat mereka celik juga al-Quran. Lantas, kewujudan Akademi Al-Quran Ar Rayyan di Sentul memberi ruang kepada insan istimewa itu untuk mempelajar­i malah menghafaz ayat-ayat yang terkandung dalam kitab suci. Mengakui ia tugas sukar, pengasas dan mudirnya Aidil Fadzli Mesran, 35, berkata anak-anak di akademi itu didedahkan dengan sistem pembelajar­an al-Quran dan pembanguna­n ibadah yang direka khusus seperti alQuran Syaqira dan teknik mengambil wuduk yang betul. “Al-Quran Syaqira merupakan alat khas untuk membaca selain dilengkapi sistem audio bagi membantu kelancaran pembacaan, manakala kami juga meletakkan gambar tatacara mengambil wuduk mengikut urutan sebagai rujukan buat insan istimewa ini,” katanya kepada Bernama. Aidil Fadzli ditemui selepas menjadi tetamu undangan program Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini, Jumaat. Akademi yang ditubuhkan sejak 1 Jan lepas itu kini mempunyai 20 pelajar selain tujuh tenaga pengajar. “Walaupun berdepan saat getir ketika mengajar mereka, kami tidak menjadikan ia sebagai halangan kerana mereka ini bukannya ‘kecelakaan’ kepada masyarakat sehingga perlu diasingkan daripada alQuran. Sebagai umat Islam mereka juga berhak untuk mempelajar­i kitab suci itu,” katanya. Mengenai prestasi pelajar, beliau berkata mereka menunjukka­n peningkata­n ketara sehingga mampu membaca potongan ayat alQuran dan berkomunik­asi dengan baik sejak mendaftar di akademi itu. “Terdapat seorang ibu menangis selepas melihat perubahan emosi anaknya yang seperti tiada perasaan sebelum masuk ke akademi dan mampu menangis setelah mendaftar di sini,” tambahnya. Bapa empat anak itu mendapat ilham menubuhkan akademi berkenaan selepas kelahiran anak ketiganya, Ar Rayyan, 6, yang disahkan menghidap autisme. Aidil Fadzli berkata setelah mempunyai pengalaman 10 tahun mengajar kanak-kanak normal mendalami al-Quran, kelahiran Ar Rayyan benarbenar membuka matanya untuk menubuhkan akademi khas pengajian al-Quran kepada golongan istimewa itu kerana amat penting bagi mereka dibekalkan dengan ilmu kitab suci itu. Selain itu, beliau bersyukur sambutan daripada ibu bapa cukup hebat sehingga tidak mampu menerima pelajar baharu buat masa ini dan susulan itu merancang untuk membuka cawangan kedua di Shah Alam dan negeri lain dalam masa terdekat. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia