Utusan Borneo (Sabah)

APS Utara sasar Pengakap Raja (Laut) lima tahun lagi

-

MIRI: Akademi Pengakap Sarawak (APS) Utara berharap dapat menghasilk­an Pengakap Raja (Laut) dalam tempoh lima tahun lagi menjelang 2022 kelak.

Guru Penasihat Pengakap Laut Sekolah Menengah (SM) Sains Miri Qaisarah Abdullah berkata, Pengakap Raja (Laut) adalah anugerah berprestij yang diiktiraf di seluruh dunia.

“Untuk mencapai Anugerah Pengakap Raja (Laut), ahli Pengakap perlu memperoleh Anugerah Rambu Pengakap Muda dalam tempoh tiga tahun pertama, diikuti Anugerah Rambu Pengakap Remaja dua tahun selepas itu.

“Mereka seterusnya perlu menjalani Ujian Sikap Pengakap Raja (Laut) untuk layak dinobatkan Anugerah Pengakap Raja (Laut),” katanya kepada Utusan Borneo baru-baru ini.

Beliau berkata, Perkhemaha­n Skim Lencana Pengakap Muda Laut dan Jamboree On The Air (JOTA) Antarabang­sa yang julung kali diadakan di sini baru-baru ini langkah pertama dalam membangunk­an aktiviti pengakap laut di wilayah utara Sarawak.

Seramai 40 ahli Pengakap Laut dan tujuh ahli Pengakap dari SM Sains Miri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luak, SMK Riam, SMK Baru, SMK Agama Miri, SMK Merbau, SMK Taman Tunku, SMK Dato Permaisuri dan SMK Kidurong Bintulu menyertai perkhemaha­n tersebut.

Manakala 262 ahli Pengakap Laut, Pengakap dan Pandu Puteri dari tujuh sekolah menengah dan 10 sekolah rendah di daerah Miri mengikuti JOTA Antarabang­sa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia