Utusan Borneo (Sabah)

‘Polis’ larikan remaja 16 tahun diberkas

-

KUANTAN:Lelaki yang menyamar sebagai anggota polis semasa melarikan remaja berusia 16 tahun di Sungai Ruan, Raub pada 27 Dis lepas, berjaya ditahan di hadapan sebuah hotel di Ipoh, Perak pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Othman Nanyan berkata suspek berusia 32 tahun yang beralamat di Taman Bukit Indah, Bentong itu ditahan pada pukul 2.05 pagi, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

“Polis turut merampas sepucuk pistol bersama kelopak peluru palsu, dua buah telefon bimbit, sebuah kereta jenis Proton Satria dan wang tunai berjumlah RM100 daripada suspek.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai tujuh kes di Pahang, Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur membabitka­n kesalahan tipu, cabul, curi, menyamar penjawat awam dan rogol,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Othman menambah ujian air kencing ke atas suspek bagaimanap­un negatif dan suspek kini direman sehingga Selasa depan. Pada 27 Dis lepas, seorang wanita membuat laporan polis mendakwa anaknya dilarikan anggota polis bernama ‘Sarjan Faiz’ yang dikatakan bertugas di Balai Polis Sungai Ruan, selepas meminta izin untuk membantuny­a membawa pulang motosikal yang baharu dibeli.

Ibu mangsa juga melihat mangsa menaiki kereta suspek dan pada pukul 3 petang hari yang sama, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya memberitah­u berada di Gua Musang, Kelantan dan memintanya untuk tidak bimbang kerana akan pulang tidak lama lagi.

Mangsa pulang ke Raub pada 29 Dis lalu, dengan menaiki bas selepas suspek menghantar­nya ke stesen bas Pekeliling, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahka­n bahawa tiada anggota polis bernama Faiz di balai tersebut, menyebabka­n siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan individu dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia