Utusan Borneo (Sabah)

Banjir di daerah Kemaman mulai surut

-

KEMAMAN: Keadaan banjir di daerah Kemaman pada Sabtu semakin pulih.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Bukit Mentok mendapati paras air sungai semakin surut dan penduduk juga sudah mula mengemas rumah.

Seorang penduduk Kampung Tanjung Bukit Mentok Rokiah Mohd Aris, 63, berkata buat masa sekarang beliau hanya tinggal di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok kerana masih takut air akan naik ke rumahnya.

“Saya tinggal di sini kerana buat masa sekarang orang pun masih ramai di sini... lagipun air di sekitar rumah masih ada tapi rumah saya tidak dimasuki air kerana berada di tempat yang lebih tinggi.

“Buat masa sekarang anak lelaki mak cik sahaja yang memantau keadaan rumah kerana takut air naik bilabila masa sebab kita masih lagi dalam musim tengkujuh,” katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Seorang lagi penduduk Zaliha Hamzah, 45, berkata beliau sudah tidak sabar untuk pulang membersihk­an rumah.

“Malam banjir itu saya sempat simpan separuh sahaja barang-barang sebab air naik agak cepat sehingga ke paras pinggang. Mana yang tercapai dan penting sahaja saya simpan.

“Sepanjang banjir ini juga saya tidak sempat untuk pulang ke rumah kerana air masih tinggi... namun begitu saya rasa selamat sebab ada orang kampung yang melihat dan memantau kawasan kampung kami,” katanya.

Sehingga pukul 10 pagi tadi, seramai 2,240 mangsa banjir daripada 534 keluarga masih ditempatka­n di tujuh pusat pemindahan di daerah itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia