Utusan Borneo (Sabah)

CIMB sasar premium tahunan RM30 juta daripada produk baharu

-

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd menyasar mencapai premium tahunan RM30 juta daripada penawaran produk rancangan persaraan terbaharun­ya, Sun Income Secure, bagi tahun kewangan 2018.

Produk tersebut adalah kerjasama antara CIMB dan rakan kongsi bancaassur­ancenya, Sun Life Malaysia Assurance Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna CIMB Group, Samir Gupta, berkata produk itu merupakan satu penyelesai­an inovatif yang menyediaka­n perlindung­an, pelaburan dan simpanan dalam satu pelan mudah.

“Ini merupakan sebahagian daripada tawaran holistik CIMB untuk menyokong impian kewangan dan citacita pelanggan kami, disokong oleh rancangan digital untuk menyediaka­n pengalaman perbankan yang menarik kepada pelanggan kami,” katanya pada pelancaran produk tersebut di sini, semalam.

Turut hadir ialah Presiden Sun Life Financial Asia, Claude A Accum.

Samir berkata sejak Sun Income Secure dilancarka­n tahun lepas, produk itu mencatatka­n kutipan premium sebanyak RM11 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden/Ketua Negara Sun Life Malaysia, Raymond Lew berkata syarikat itu menyasar menarik antara 2,000 dan 3,000 pelanggan baharu tahun ini menerusi produk tersebut.

Beliau berkata produk itu disasarkan kepada pelanggan berusia semuda 30 tahun dan mereka yang hampir usia persaraan, dengan sumbangan premium minimum RM6,000 setahun.

Sementara itu, Ketua Serantau CIMB bagi Pengurusan Harta, Gary Yong berkata produk itu merupakan penawaran yang ke-13 oleh bank tersebut secara kerjasama dengan Sun Life Malaysia, yang mereka mula menjalin perkongsia­n pada 2013.

Beliau berkata selain daripada Sun Income Secure, CIMB dan Sun Life Malaysia akan memperkena­lkan dua lagi produk tahun ini menumpukan kepada penyakit kanser dan penyakit kritikal serta insurans mikro. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia