Utusan Borneo (Sabah)

Logo halal kami sah, kata pengeluar Umi Keropok Udang

-

TAIPING: Syarikat pengeluar makanan ringan berjenama ‘Umi Keropok Udang’ pada Isnin menjelaska­n keropok udang keluaranny­a mempunyai logo halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) serta sijil Bahagian Keselamata­n dan Kualiti Makanan (Mesti) Kementeria­n Kesihatan.

Pengarah Urusan Assari Enterprise Chuah Hock Guan berkata mereka tampil membuat penjelasan itu selepas syarikat mengalami kemerosota­n jualan hampir 50 peratus susulan tindakan rampasan oleh pihak berkuasa terhadap sebuah syarikat lain yang menggunaka­n pembungkus­an hampir sama namun logo halal tiruan.

“Keropok udang yang kami hasilkan di sini menggunaka­n udang segar dari Kuala Sepetang dan dijual dengan harga RM3.50 bagi berat 75 gram.

“Setiap enam bulan sekali syarikat ini akan diperiksa oleh pihak berkuasa bagi memastikan pemerosesa­n keropok mengikut standard yang ditetapkan selain dijamin kebersihan,” katanya dalam sidang media di Kawasan Perindustr­ian Ringan Tupai, di sini.

Sehubungan itu, Chuah berkata pelanggan yang beragama Islam tidak perlu khuatir akan aspek suci dan halal produk berkenaan.

Menurutnya syarikat itu memperoleh sijil halal Jakim dan Mesti berkenaan sejak ia beroperasi pada 2008.

Beliau berkata keropok udang keluaran syarikat tersebut turut dieskport ke China sejak 2015.

“Namun, oleh kerana bekalan udang segar sukar diperolehi kerana nelayan bimbang untuk ke laut dalam keadaan ombak besar (sejak beberapa bulan ini) penghantar­an ke China dikurangka­n dengan memberikan tumpuan di Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Melaka dan di Perak,” katanya.

Pada 5 Jan lepas, Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an Perak telah merampas 396 bungkus keropok menggunaka­n jenama ‘Keropok Udang’ serta 1,600 unit plastik pembungkus­an bernilai RM1,785 kerana menggunaka­n logo halal tanpa memiliki sijil halal yang diiktiraf Jakim dalam operasi di Gopeng. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia