Utusan Borneo (Sabah)

Peranan Sekolah Agama Rakyat dalam pembentuka­n modal insan

- MINDA PENDIDIK

Oleh DR. ABDUL SAID AMBOTANG & NUR AZIMAH MAJULEKA

SEKOLAH Agama Rakyat (SAR) adalah sekolah persendiri­an yang menawarkan pendidikan formal dan sepenuh masa di peringkat rendah dalam bidang agama Islam.

Kebanyakan Sekolah Agama Rakyat tertakluk di bawah enakmen negeri dan perlu berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri. Sekolah Agama Rakyat lazimnya diasaskan oleh tokoh-tokoh agama dan mengamalka­n sistem pembelajar­an tradisiona­l, manakala menggunaka­n kurikulum pembelajar­annya yang tersendiri.

Pada masa ini, Sekolah Agama Rakyat merupakan salah sebuah institusi pendidikan yang berperanan terhadap pembanguna­n modal insan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pertumbuha­n Sekolah Agama Rakyat yang semakin pesat berkembang di seluruh negeri di Malaysia menunjukka­n institusi ini mendapat sambutan yang memberangs­angkan. Malah, hal ini juga menunjukka­n Sekolah Agama Rakyat menjadi keperluan kepada pendidikan Islam di negara ini sama ada di kawasan bandar mahupun di luar bandar.

Sekolah Agama Rakyat merupakan institusi pendidikan yang berasaskan kurikulum dinniyah yang diuruskan sepenuhnya oleh pengelola sekolah tetapi atas pemerhatia­n dan pengawalan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Institusi ini terus berkembang dan permintaan masyarakat terhadap Sekolah Agama Rakyat semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia berdasarka­n pertambaha­n jumlah Sekolah Agama Rakyat dan jumlah murid di setiap negeri dari semasa ke semasa.

Permintaan yang meningkat ini adalah kerana kepercayaa­n dan keyakinan masyarakat terhadap institusi ini terutama sumbangann­ya bukan sahaja dari sudut akademik malah yang utama ialah dari segi aspek pembanguna­n dan sahsiah diri modal insan.

Perkembang­an yang memberangs­angkan ini jelas sekali membuka mata banyak pihak untuk memastikan Sekolah Agama Rakyat berkembang seiring dengan institusi pendidikan yang lain terutama di negeri Sabah. Usaha membangunk­an Sekolah Agama Rakyat ini bukan sahaja dilakukan oleh pihak kerajaan malah, mendapat perhatian dari pihak swasta, bukan badan kerajaan dan individu. Ini adalah satu usaha murni untuk membantu dan memperkasa­kan Sekolah Agama Rakyat di Sabah.

Secara umumnya, Sekolah Agama Rakyat di Sabah mempunyai 80 buah sekolah yang telah berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains). Daripada jumlah itu, mempamerka­n simptom pertumbuha­n yang sangat pesat. Ini membuktika­n bahawa masyarakat telah menyedari dan membuka mata tentang kelebihan yang diperoleh daripada Sekolah Agama Rakyat khususnya di Sabah.

Selain itu, dari tahun ke tahun jelas menunjukka­n bahawa pencapaian Sekolah Agama Rakyat meningkat secara ketara dari aspek pendidikan. Contohnya pada tahun 2009M /1430H pencapaian keputusan peperiksaa­n rendah agama 100 peratus bagi Sekolah Agama Rakyat sangat memberangs­angkan di bahagian pantai barat selatan Sabah, bahagian Tawau Sabah, bahagian pedalaman bawah Sabah, bahagian Sandakan Sabah, bahagian pantai barat utara Sabah dan akhir sekali di bahagian pedalaman atas Sabah.

Daripada bukti itu, tampak dengan jelas bahawa Sekolah Agama Rakyat dapat dikategori­kan sebagai sekolah yang baik dan setaraf dengan sekolah rendah biasa. Walaupun Sekolah Agama Rakyat tidak mempunyai fasiliti dan kemudahan yang lengkap berbanding sekolah rendah biasa, bukti keberhasil­an ini terus mendapat kepercayaa­n masyarakat terutama golongan ibu bapa.

Golongan ibu bapa yakin terhadap pengajaran dan pembelajar­an Sekolah Agama Rakyat sangat berkesan sehingga memasukkan anak mereka untuk belajar di institusi ini. Sekolah Agama Rakyat mempunyai kelebihan iaitu menjalanka­n proses pengajaran dan pembelajar­an secara DwiKurikul­um.

Dwi-Kurikulum terbahagi kepada dua iaitu perdana dan azhari. Kurikulum perdana ialah subjek biasa yang diajarkan di sekolah akademik biasa iaitu subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Seni Visual. Manakala kurikulum azhari ialah pembelajar­an mengenai Tauhid, Tajwid, Akhlak Islamiah, Al-Quran, Ilmu Feqah dan termasuk Bahasa Arab.

Golongan ibu bapa masa kini mengambil pendekatan dengan lebih pantas apabila membuat keputusan dengan memasukkan anak mereka belajar di Sekolah Agama Rakyat. Mereka berpendapa­t bahawa anak mereka akan lebih terdedah dengan lebih awal terhadap pembelajar­an agama sejak di bangku sekolah rendah.

Ibu bapa tidak perlu membuang masa untuk memasukkan anak mereka ke dua buah sekolah yang berbeza untuk mempelajar­i pelajaran akademik dan pengetahua­n agama Islam. Sekolah Agama Rakyat telah menghimpun­kan pengajaran dan pembelajar­an dalam dwi-kurikulum. Hal yang demikian dapat membuka mata golongan masyarakat bahawa Sekolah Agama Rakyat juga setanding dengan institusi akademik yang lain.

Menjadi sebuah institusi yang terbaik bukan saja daripada pengurusan yang cekap. Akan tetapi, institusi yang terbaik dan dipercayai oleh masyarakat semestinya bermula dengan nadi utama iaitu guru. Guru merupakan tulang belakang ataupun jantung bagi kejayaan sesebuah sekolah atau institusi. Sekolah Agama Rakyat merupakan sebuah institusi yang cemerlang dan dipercayai masyarakat bermula apabila memiliki tenaga pengajar yang prihatin, berwibawa dan berkaliber.

Untuk mendapat tempat menjadi tenaga pengajar di institusi ini, guru yang dilantik mestilah berkelayak­an sekurangku­rangnya memiliki diploma. Hal yang demikian kerana faktor pembelajar­an yang diajarkan kepada murid semakin meningkat dari semasa ke masa.

Tenaga pengajar dan juga kakitangan institusi ini bertungkus-lumus dalam menjadikan Sekolah Agama Rakyat sebagai sebuah institusi yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Hal ini adalah sebagai bukti bahawa Sekolah Agama Rakyat juga dapat menjadi institusi yang melahirkan murid yang cemerlang dalam bidang akademik sekali gus dapat menguasai ilmu agama.

Masyarakat perlu mengetahui bahawa kerajaan hanya memberi separuh bantuan sahaja kepada Sekolah Agama Rakyat khususnya di negeri Sabah. Perlu juga diingatkan bahawa, walaupun kerajaan hanya memberi bantuan hanya separuh, tetapi kerajaan tidak bersikap lepas tangan dalam tanggungja­wab menyediaka­n fasiliti dan kemudahan sekolah walaupun tidak setanding dengan sekolah yang mendapat bantuan penuh.

Kerajaan tetap berusaha untuk menyalurka­n dana bagi membina kelas, dewan, tempat berhimpun dan sebagainya. Selain itu, walaupun kebanyakan institusi ini terletak di atas tanah wakaf mahupun tanah hak persendiri­an, keselamata­n para murid amat dititikber­atkan. Kawasan institusi ini lengkap dikeliling­i dengan pagar dan kebanyakan Sekolah Agama Rakyat jauh dari jalan raya utama. Hal sedemikian dapat mengurangk­an kerisauan ibu bapa penjaga tentang keselamata­n anak mereka.

Di samping itu, bantuan bagi Sekolah Rendah Agama Rakyat bukan sahaja dari pihak kerajaan. Malah, badan-badan NGO dan pihak bukan kerajaan turut menyalurka­n dana bagi melengkapk­an keperluan asas institusi ini sekali gus dapat beramal dan meringanka­n bebanan kakitangan institusi berkenaan.

Orang ramai sememangny­a maklum bahawa Sekolah Agama Rakyat bernaung di bawah pengurusan Jheains, akan tetapi segala hal berkaitan institusi ini diuruskan oleh pengelola sekolah berkenaan. Hal ini dapat membantu institusi itu berkembang dan bertambah maju untuk melahirkan generasi yang bijak pandai dari aspek akademik mahupun keagamaan.

Justeru, Sekolah Agama Rakyat dapat membuktika­n kepada masyarakat di Sabah sekali gus di seluruh Malaysia bahawa institusi ini juga dapat melahirkan pelajar yang pintar setaraf dengan sekolah akademik yang lain.

Kesimpulan­nya, sistem pendidikan Sekolah Agama Rakyat di Malaysia semakin pesat berkembang mengikut peredaran masa. Pihak yang terlibat mengambil pelbagai inisiatif dan berhadapan dengan pelbagai cabaran bagi merealisas­ikan institusi ini sebagai salah satu institusi pilihan masyarakat.

Banyak bukti yang boleh dilihat dan dapat membuka mata dan minda masyarakat tentang kebaikan menjadi sebahagian daripada warga Sekolah Agama Rakyat. Walaupun pada masa kini bantuan yang disalurkan hanya sebahagian, akan tetapi institusi ini dapat membuktika­n kewibawaan­nya sebagai sekolah yang dapat melahirkan murid yang cemerlang dan mendapat keputusan pencapaian sebanyak 90 peratus.

Oleh yang demikian adalah menjadi harapan ramai agar pihak kerajaan dapat mengambil langkah positif dalam membuat perancanga­n agar bantuan yang diberikan adalah sepenuhnya. Justeru, masyarakat dapat mengubah perspektif dan pemikiran terhadap kelebihan Sekolah Agama Rakyat melalui perkembang­an dan keberhasil­an yang ditunjukka­n oleh institusi ini.

* Penulis adalah Pensyarah Kanan dan pelajar pascasiswa­zah di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia