Utusan Borneo (Sabah)

Bank Muamalat sertai Perikatan Global Untuk Perbankan Nilai

-

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd (BMMB) telah menjadi ahli Perikatan Global Untuk Perbankan Nilai (GABV), sebuah rangkaian bank berasaskan nilai terkemuka di dunia.

Presidenny­a, Datuk Mohd Reza Shah Abdul Wahid, berkata bank itu secara rasmi diterima sebagai ahli pada 15 November 2017 dan merupakan bank Islam pertama dan bank komersil pertama di Asia Tenggara untuk menjadi ahli.

“Kami selalu menganggap perbankan Islam adalah berasaskan nilai tetapi tidak pernah diuji di peringkat antarabang­sa.

“Ia mengambil masa satu tahun (proses) untuk menjadi ahli GABV, tetapi perjalanan itu bermula dengan Bank Negara Malaysia (BNM) memperkena­lkan GABV kira-kira dua tahun lalu di Forum Kewangan Islam Global yang memberi cabaran untuk bank Islam menjadi ahli,” katanya kepada pemberita selepas pengiktira­fan rasmi BMMB sebagai anggota GABV di sini, kelmarin.

Mohd Reza berkata, sebagai ahli GABV, telah meletakkan BMMB di arena antarabang­sa bank-bank bertaraf dunia sambil menempatka­n nilai yang dipercayai di pentas global walaupun ianya sebuah bank kecil.

Ia juga membantu bank tersebut dalam penjenamaa­n dan mengukur dirinya dari segi standard dan pembanguna­n sosial global yang perlu disesuaika­n dalam masyarakat, katanya.

“Melangkah ke hadapan, bank akan memulakan pembanguna­n mampan secara lebih agresif menggunaka­n standard antarabang­sa, dengan membawa amalan terbaik yang dipelajari daripada ahli lain ke dalam bank,” katanya.

Pengerusi BMMB, Tan Sri Munir Abdul Majid dalam ucapannya berkata, sebagai bank Islam, BMMB bertanggun­gjawab untuk memangkink­an perubahan sosial dan mewujudkan nilai kepada orang ramai.

Beliau berkata, GABV yang ditubuhkan pada 2009 adalah rangkaian bebas bank dan koperasi perbankan yang beroperasi di bawah ‘Prinsip Perbankan Mampan’ yang memberi tumpuan kepada pulangan ekonomi sebenar dan bertindak sebagai pengantara kewangan untuk menyokong kesan sosial dan alam sekitar.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menyokong misinya, BMMB telah meneroka peluang untuk menyertai GABV bagi memperluas pendedahan­nya dalam amalan perbankan yang mampan dan untuk belajar daripada 46 ahli lain yang telah mengukuhka­n kedudukan dalam aktiviti perbankan berasaskan nilai di negara mereka,” katanya.

Prinsip asas GABV sangat sesuai dengan kertas strategi baru yang dikeluarka­n BNM mengenai Pengantara­an Berasaskan Nilai (VBI): Memperkuku­h Peranan dan Kesan Kewangan Islam, katanya.

Menurut Munir, BMMB juga boleh berkongsi amalan terbaik antarabang­sa dengan komuniti VBI dalam usaha untuk meletakkan perbankan Islam Malaysia sebagai ejen terkemuka dan utama bagi menjana kesan positif dan mampan terhadap ekonomi, komuniti dan alam sekitar.

Sementara itu, Penasihat Kanan GABV, David K Korslund berkata, untuk menjadi ahli, sesebuah bank perlu melalui proses yang ketat dan akan dikaji semula setiap tahun untuk memastikan ia terus mematuhi pelbagai prinsip perikatan tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia