Utusan Borneo (Sabah)

Kata-kata ‘azimat’ Misbun, pembakar semangat Iskandar

-

KUALA LUMPUR: Katakata ‘azimat’ ketua jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek menjadi pembakar semangat kepada pemain perseorang­an negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin untuk bangkit meneruskan saingan pada kejohanan Perodua Masters Malaysia di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil.

Iskandar yang menang aksi pusingan kedua kelayakan hari ini, terpaksa berhempas pulas apabila tewas set pertama 15-21 sebelum bangkit bertenaga menyingkir­kan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito pada dua set seterusnya 21-15, 21-8.

Misbun berkata beliau tidak mahu anak buahnya itu mensia-siakan peluang diberikan dan mendorong Iskandar kembali fokus di gelanggang walaupun dalam keadaan kepenatan.

“Saya beritahu beliau, berlatih susah-susah, nak lepaskan pasal apa? Berjuang habis-habisan. Apabila penat ia akan pergi kepada perasaan yang akan membuatkan pemain itu berputus asa. Beliau perlu memikirkan semula tujuan beliau beraksi di kejohanan ini.

“Saya faham bukan mudah untuk melepasi dua pusingan kelayakan ini. Tetapi saya berpuas hati dengan prestasi pemain perseorang­an negara. Mereka berjuang habis-habisan, itu yang kita mahukan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Misbun berkata hanya semangat dan kemahuan daripada pemain itu sendiri yang akan mendorong mereka meraih kejayaan.

Selain Iskandar, seorang lagi pemain perseorang­an lelaki negara, Soong Joo Ven turut layak ke undian utama.

“Saya percaya pemain dapat belajar bertahan dengan tekanan daripada pihak lawan dan kepenatan mereka. Walaupun tadi kalau kita lihat Iskandar dalam keadaan ketinggala­n saya lihat dia berjuang habis-habisan, itu yang kita mahukan daripada pemain ini.

“Apabila mereka mempunyai semangat dan keinginan, senang untuk kita bentuk mereka,” katanya.

Prestasi kedua-dua pemain itu sangat penting ketika ini dalam persiapan skuad negara menghadapi Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (Kelayakan Piala Thomas) di Alor Setar, Kedah dari 6 hingga 11 Feb ini. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia