Utusan Borneo (Sabah)

Pemuda BN mahu lebih ramai pemimpin muda jadi calon

- Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah Yamani Hafez Musa ingin melihat lebih ramai pemimpin muda dipilih sebagai calon untuk Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU-14).

Beliau tidak tahu sama ada dirinya akan menjadi calon tetapi sebagai Ketua Pemuda, beliau ingin melihat lebih ramai pemimpin muda ditampilka­n sebagai calon.

“Tidak semestinya saya, boleh jadi orang lain (menjadi calon). Namun, sesiapa pun yang tercalon, ia akan memberi gambaran yang baik kepada saya sebagai ketua Pemuda BN, biarpun saya tidak dicalonkan.

“Jika mereka (pemimpin Pemuda lain) menjadi calon, ia memberi gambaran yang baik kepada kita. Ini bukan hanya baik untuk orang muda tetapi demi kebaikan negeri ini secara keseluruha­n. Ia menunjukka­n kita bersedia untuk maju ke hadapan,” katanya ketika ditanya tentang kemungkina­n beliau akan menjadi calon pada PRU-14.

Hafez berkata Pemuda akan mencadangk­an calon-calon yang berkelayak­an dan berpotensi menang namun banyak faktor perlu diambil kira.

Menurutnya, penting untuk BN mempunyai calon muda bagi memperliha­tkan tindakan itu seiring dengan aspirasi Transforma­si Nasional 2050 (TN50).

“Kita bercakap tentang TN50 dan masa depan tetapi jika kita masih mengekalka­n muka lama dalam PRU akan datang, ia bertentang­an dengan usaha untuk mengambil kira suara orang muda,” katanya.

Berkenaan jumlah ramai calon Pemuda akan ditampilka­n, Hafez berkata Pemuda BN Sabah tidak melihat dari aspek jumlah dan peratusan calon bertanding.

Mana-mana tempat yang mempunyai peluang, calon Pemuda yang berkelayak­an dan berpotensi baik akan diberi peluang untuk ditempatka­n di kawasan itu, jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia