Utusan Borneo (Sabah)

Perlu pertingkat kesedaran sivik

Lee saran masyarakat perlu lebih bertanggun­gjawab

-

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran sivik yang rendah dan sikap kurang bertanggun­gjawab mendorong segelintir masyarakat bertindak sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keselamata­n orang lain.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata dalam usaha Malaysia menuju negara maju, seharusnya aspek moral, etika dan akhlak dalam kalangan masyarakat perlu seiring dengan pembanguna­n negara.

“Apa yang membimbang­kan pada hari ini, kita sudah melupakan perkara asas iaitu aspek pendidikan, aspek nilai murni dan saling menghormat­i antara satu sama lain.

“Banyak kejayaan dikecapi oleh negara ketika ini terutama kemajuan dari segi sains dan teknologi, namun nilai moral dan sahsiah diri dalam kalangan masyarakat masih lagi rendah,” katanya ketika dihubungi Bernama, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian yang meragut nyawa remaja lelaki S. Sathiwaran, 15, akibat dihempap sebuah kerusi pejabat dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri Blok 102, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini.

Biarpun sebelum ini banyak kes seperti membuang sampah-sarap dan pasu bunga ke bawah berlaku di kawasan kediaman awam terutama melibatkan bangunan tinggi sehingga menyebabka­n kecederaan dan ada yang kehilangan nyawa, masyarakat masih lagi kurang mengambil iktibar kesannya.

Kesal dengan kejadian menimpa nasib remaja itu, Lee berkata kejadian itu boleh dielakkan sekiranya penghuni pangsapuri berkenaan mengamalka­n sikap bertanggun­gjawab dan tidak memandang ringan dengan tahap keselamata­n sehingga boleh mengundang padah kepada orang lain.

Bagi mengelakka­n kejadian itu berulang, aktivis masyarakat itu berkata persatuan penduduk harus memainkan peranan dalam melibatkan diri melakukan sesuatu aktiviti dan program untuk mendidik masyarakat mencapai nilainilai murni dan bertanggun­gjawab.

Selain itu, katanya pendidikan di sekolah dan institusi kekeluarga­an perlu dipertingk­at untuk menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam kalangan masyarakat terutama kepada golongan muda.

Setiausaha Persatuan Penduduk PPR Kg Limau, Lembah Pantai Rosli Atan, yang senada dengan Lee berkata persatuan penduduk harus memainkan peranan penting untuk menjalanka­n aktiviti dan program bercirikan keselamata­n kepada penduduk setempat.

“Kami banyak menganjurk­an program berkenaan lima hingga enam kali setahun dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta penglibata­n pasukan keselamata­n seperti polis dan bomba kepada masyarakat di sini,” kata Rosli.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam rancangan Nine11 terbitan Bernama News Channel hari ini, Lee berkata aspek pendidikan perlu ditekankan dalam memberi kesedaran kepada penduduk yang mendiami kediaman bertingkat agar lebih bertanggun­gjawab dan prihatin dalam hidup bermasyara­kat.

Katanya, pendidikan penting dalam mentransfo­rmasikan minda penduduk yang mendiami kawasan berkenaan terutama di PPR.

Lee juga meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih agresif dalam meningkatk­an aspek penguatkua­saan undang-undang dan juga isu keselamata­n di PPR.

Dalam perkembang­an lain mengenai peningkata­n kes juvana, Lee menegaskan institusi kekeluarga­an juga penting dan perlu diperkukuh­kan dalam membina benteng yang kuat dan kukuh untuk membentuk belia menjadi insan yang berwibawa, berintegri­ti dan berakhlak.

“Pada saya tiada alasan untuk ibu bapa tidak dapat meluangkan masa bersama dengan anak-anak mereka. Memang menjadi satu cabaran kepada ibu bapa pada masa kini tetapi dapat luangkan masa berkualiti dalam 15 hingga 20 minit cukup untuk mereka bertanyaka­n mengenai masalah, isu anak-anak mereka. Mereka perlu tunjukkan minat kepada anak-anak mereka sendiri,” tambahnya.

Beliau turut meluahkan kebimbanga­n mengenai peningkata­n indeks jenayah juvana daripada Polis Diraja Malaysia yang meningkat 9.4 peratus kepada 8,740 kes pada 2017 berbanding 7,985 kes pada

2016. -Bernama

“Apa yang membimbang­kan pada hari ini, kita sudah melupakan perkara asas iaitu aspek pendidikan, aspek nilai murni dan saling menghormat­i antara satu sama lain. Banyak kejayaan dikecapi oleh negara ketika ini terutama kemajuan dari segi sains dan teknologi, namun nilai moral dan sahsiah ” diri dalam kalangan masyarakat masih lagi rendah.

TAN SRI LEE LAM THYE Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia