Utusan Borneo (Sabah)

Paras air semakin meningkat, dua sekolah di Baram masih ditutup

-

MIRI: Dua sekolah di Baram masih ditutup ekoran paras air semakin meningkat antara dua hingga tiga inci berbanding pada Isnin.

Antara sekolah yang masih terjejas teruk ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bok Tinjar dan SK Sungai Baong Baram.

Laporan harian Balai Bomba dan Penyelamat Marudi memaklumka­n bahawa SK Bok ditutup ekoran paras air semakin naik iaitu kira-kira tiga inci berbanding hari sebelumnya.

Sehingga jam 8 pagi Selasa, kawasan terjejas termasuk dewan perhimpuna­n dinaiki air setinggi 2.5 kaki, padang sekolah (4.5 kaki), dan bawah rumah guru (2.7 kaki).

Turut dinaiki air ialah kelas tahun tiga hingga tahun enam sedalam 1.8 kaki.

Paras air naik secara mendadak disebabkan hujan lebat semalaman namun tiada kejadian buruk dilaporkan berlaku sepanjang bencana alam terbabit.

Penutupan SK Bok membabitka­n 62 murid dan 12 guru, lapan AKP serta 15 ahli keluarga kakitangan sekolah.

SK Sungai Baong, Baram pula turut dilaporkan ditutup dengan kenaikan paras air juga setinggi tiga inci.

Antara tempat yang terjejas ialah asrama ditenggela­mi air sedalam 2.6 kaki, bawah rumah guru (3.4 kaki), kelas tahun satu hingga empat (1.10 kaki).

Turut terjejas ialah bawah dapur makan asrama dinaiki air sedalam 2.6 kaki dan dapur dewan makan sedalam 2.6 kaki.

Guru besar sekolah berkenaan juga telah memohon kebenaran sekolah ditutup atas faktor keselamata­n pelajar.

Laluan dari jalan seberang ke sekolah juga sudah dilanda banjir dan amat berbahaya kepada pelajar dan guru untuk ke sekolah.

Penutupan sekolah membabitka­n 122 murid dan 13 guru serta tujuh orang AKP.

Sehingga laporan ini ditulis, keadaan banjir di kedua-dua sekolah ini menunjukka­n trend air semakin meningkat.

Kedua-dua sekolah itu ditutup pada Selasa seterusnya ditutup semula semalam ekoran tiada tanda-tanda air akan surut disebabkan hujan lebat.

Sementara itu, sebuah lagi sekolah yang turut ditutup Selasa ialah SK Rumah Ranggong, Subis akibat terputus hubungan jalan utama menuju ke sekolah.

Guru dan kakitangan sekolah serta murid dilaporkan tidak dapat meneruskan sesi persekolah­an akibatjala­nkesekolah­ditenggela­mi air.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia