Utusan Borneo (Sabah)

Kutipan zakat di Kelantan meningkat 10 peratus tahun lepas

-

KOTA BHARU: Kutipan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 2017 meningkat 10.26 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Penasihat Khas kepada Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata kutipan zakat meningkat sebanyak RM16.6 juta kepada RM179.3 juta tahun lepas berbanding RM162.7 juta pada 2016.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan bertitah 62,151 orang menunaikan rukun Islam keempat itu tahun lepas berbanding hanya 57,744 orang pada 2016.

“Jumlah dapatan paling banyak adalah daripada zakat pendapatan iaitu RM107.06 juta pada 2017 dengan jumlah pembayar seramai 49,050 orang diikuti dengan zakat perniagaan, simpanan dan harta.

“Walaupun keadaan ekonomi pada tahun lepas kurang memberangs­angkan namun berkat pelbagai usaha, MAIK mampu mendapat tambahan hampir R M 17 juta ,” titahnya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam MAIK bersama Pengamal Media Kelantan di sini malam Rabu.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi serta Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed.

Tengku Mohamad Rizam bertitah MAIK membelanja­kan RM185 juta daripada kumpulan wang zakat bagi perbelanja­an golongan asnaf termasuk fakir miskin, amil, mualaf selain projek pembanguna­n tahun lepas berbanding RM171.9 juta pada 2016.

Mengulas lanjut, baginda bertitah setiap sen kutipan zakat adalah amanah dan tanggungja­wab yang perlu dilaksanak­an sebaik mungkin dan setiap aktiviti yang dijalankan MAIK didedahkan kepada pengetahua­n umum, sebagai membuktika­n ketelusan bagi meningkatk­an keyakinan masyarakat. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia