Utusan Borneo (Sabah)

Integriti penting, calon jangan tabur janji demi raih sokongan

-

KUALA LUMPUR: Masyarakat mahukan wakil rakyat berintegri­ti dan bukan sekadar pandai menaburkan pelbagai janji demi meraih sokongan dan populariti menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata beberapa pemimpin komponen Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda MIC Datuk Sivarraajh Chandran berkata selain jelas dengan apa yang mereka mahukan daripada seorang pemimpin, pengundi masa kini matang dan memantau menerusi media sosial siapa calon yang ditampilka­n.

“Pelbagai kajian sikap dibuat bukan sahaja di dalam malah di luar negara. Perkara paling penting yang rakyat mahukan daripada seorang pemimpin adalah integriti dan boleh dipercayai,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa semua calon BN bagi PRU14 sedang menjalani tapisan integriti bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang salah laku melibatkan integriti, selain tapisan kesihatan. Tapisan itu dilakukan oleh unit khas BN bersama agensiagen­si berkaitan, khususnya Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sivarraajh, yang juga Penyelaras Parlimen Cameron Highlands berkata langkah BN itu tepat bagi membina keyakinan dalam kalangan rakyat khasnya golongan muda untuk memilih pemimpinpe­mimpin yang mempunyai integriti.

“Selain integriti, seorang calon atau wakil rakyat harus mempunyai komitmen, belas kasihan dan dedikasi dalam menyelesai­kan masalah rakyat, selain berkredibi­liti,” katanya.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata integriti adalah soal kewibawaan dan keutuhan membabitka­n prinsip kejujuran dan moral yang tinggi seseorang pemimpin.

“Sebenarnya integriti itu adalah keseluruha­n pembawaan kita dari segi peribadi, akhlak, tutur kata dan sopan santun. Justeru, kepada sesiapa yang akan dipilih sebagai wakil rakyat, penting untuk memiliki sifat integriti,” katanya.

Fadillah, yang juga Menteri Kerja Raya berkata sudah menjadi amalan dalam BN pada setiap pilihan raya, setiap calon yang dipilih akan melalui pelbagai tapisan bagi memastikan mereka benarbenar layak, berintegri­ti dan berwibawa.

Ketua Pemuda MCA Senator Datuk Chong Sin Woon berkata wakil rakyat perlu menjalani tapisan integriti dan bersesuaia­n dengan tanggungja­wabnya untuk berkhidmat kepada masyarakat, selain menjadi pemimpin contoh.

Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai pula berkata integriti melambangk­an kualiti kejujuran dan ketinggian prinsip moral yang dipegang oleh seseorang, justeru calon yang melepasi tapisan itu akan menjadi cerminan kredibilit­i sesebuah parti.

Mengambil contoh aspek tadbir urus dan pentadbira­n organisasi, beliau berkata keruntuhan integriti akan menyebabka­n berlaku pelbagai kepincanga­n seperti peningkata­n amalan rasuah dan pecah amanah.

“Tapisan integriti ini wajar kerana individu yang berintegri­ti akan tetap mematuhi peraturan kerana takrif integriti memerlukan individu yang menjalanka­n tanggungja­wab tanpa mengambil kira sama ada tindakan mereka dilihat ataupun tidak,” katanya.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Jamawi Jaafar berkata integriti menjadi soal pokok dalam menentukan kriteria seorang wakil rakyat yang bukan sahaja boleh memenangi perang PRU14, malah menunaikan segala janji.

Wakil rakyat yang bakal dipilih kelak perlu ditapis kerana mereka bakal diangkat menjadi pemimpin yang akan memperjuan­gkan hak rakyat dan bukannya agenda peribadi, katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia