Rela mainkan peranan penting
Shafie tidak sepatutnya merendahkan Rela
TUARAN: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bertujuan merendahkan keupayaan penugasan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Tan Sri Musa Aman berkata, beliau sendiri sebagai Ketua Menteri Sabah tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang bertujuan merendah rendahkan sesebuah pasukan terutamanya Rela.
Katanya, budaya seumpamanya adalah bukan amalan yang patut dilakukan oleh masyarakat Sabah lebihlebih lagi apabila seseorang itu bergelar pemimpin.
“Tidak kiralah berapa kecil atau besar penugasan Rela, mereka masih memainkan peranan penting dalam masyarakat dan kata-kata berunsur negatif tidak sepatutnya diberikan kepada anggota ini,” katanya.
Musa berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Penugasan Rela di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) di Pusat Latihan Rela Negeri Sabah (PLRNS) Tuaran, pada Sabtu.
Terdahulu video berdurasi 20 saat tular di media sosial menunjukkan Shafie berucap dengan mempersoalkan penugasan Rela di Esszone serta memperkecilkan penugasan Rela yang tidak tahu mengendalikan senjata dan hanya bertugas apabila majlis perkahwinan.
Musa berkata, apa yang dikatakan Shafie itu adalah satu tuduhan tidak berasas dan semasa menyandang jawatan sebagai Menteri Pusat Shafie juga pernah memperoleh perkhidmatan anggota Rela.
Sementara itu semasa berucap pada majlis berkenaan Musa berkata, idea penugasan Rela di Esszone diilhamkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa Sambutan Hari Ulang Tahun Rela ke-45 di Padang Merdeka pada 11 Februari tahun lalu.
Katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan penugasan seramai 504 Rela di Esszone dan beberapa kawasan sempadan di Sabah dan Sarawak bermula 1 Januari lalu.
“Kemasukan Rela sebagai salah satu agensi keselamatan di Esszone membuktikan transformasi jabatan dan anggota Rela yang ditugaskan di sana perlu menunjukkan komitmen dan disiplin yang tinggi sepanjang melaksanakan tugasan diberi,” katanya.
Difahamkan anggota Rela tidak akan ditempatkan di barisan hadapan atau operasi taktikal membabitkan penugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melainkan tumpuan menjaga ketenteraman awam melalui rondaan masyarakat dan pengedaran maklumat.
“Tidak kiralah berapa kecil atau besar penugasan Rela, mereka masih memainkan peranan penting dalam masyarakat dan kata-kata berunsur negatif tidak sepatutnya diberikan kepada anggota ini. TAN SRI MUSA AMAN Ketua Menteri