Utusan Borneo (Sabah)

Tiga sekawan ditahan bersama dadah bernilai RM32,000

-

KEPALA BATAS: Tiga sekawan yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan polis bersama heroin serta syabu bernilai RM32,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pantai Intan, Butterwort­h dekat sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah itu kira-kira 2 pagi dan menahan dua lelaki serta seorang wanita, suspek berumur lingkungan 27 hingga 49 tahun.

“Hasil pemeriksaa­n di dalam rumah tersebut, polis merampas tujuh paket heroin seberat 1,745 gram (g) dan tiga paket syabu seberat 0.8g yang semuanya bernilai RM32,000,” katanya di sini pada Sabtu.

Katanya siasatan awal mendapati tiga individu itu mendapatka­n bekalan dadah daripada sindiket sebelum membungkus­nya semula dan menjual kepada pelanggan mereka di sekitar Butterwort­h.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti identiti sindiket pengedaran dadah itu dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

Noorzainy berkata tiga individu yang bekerja sebagai buruh dan positif dadah itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu dalam perkembang­an lain, katanya polis menahan tiga remaja lelaki berusia 17 hingga 21 tahun dipercayai geng pecah rumah dalam serbuan di sebuah rumah di Penaga, di sini awal pagi Khamis.

“Polis mendapat maklumat daripada penduduk di situ memaklumka­n ada kejadian pecah rumah di kediaman jiran mereka sebelum kami membuat serbuan serta berjaya menahan tiga remaja tersebut yang sedang mencuri barangan dalam rumah berkenaan,” katanya.

Katanya dua daripada remaja itu positif dadah dan semua mereka yang dipercayai terlibat sekurangku­rangnya lima kes pecah rumah di daerah SPU kini direman empat hari bagi membantu siasatan.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia