Utusan Borneo (Sabah)

Puisi Minggu Ini

-

KALENDAR PERIBADI

Pada kalendar ini tersusun arah dan tindak yang menuntut integriti dan separuh nyawa ini.

Kenapakah pada kebanyakan masa berlalunya hari kelmarin tidak berganjak bagai tertempa ke atas batu degil yang menghiasi meja ini?

Mari dengarkan dentingan jam di dinding keteratura­n. Mungkinkah ada jawapan di sana?

Mari kita selongkar ini laci helah diri mungkin ada kesedaran nurani masih membenam diri.

Kerana kalendar ini adalah kalendar peribadi memerangka­p atau membebaska­n hanya pilihan yang dia beri.

Ini meja kita hanya mengumbar kuasa hari kelmarin itu yang tertanda pada tarikhnya.

Dengan masa depan sentiasa menanti untuk mengadili.

Mari,

Pada hari ini kita mesrai kembali kalendar peribadi ini dan menemui sedar nurani.

Nurani pemimpin dengan pimpinanny­a, nurani pengikut dengan kesetiaann­ya Pada bijak perancanga­n Pada jujur pujian

Pada kasih teguran.

Dengan kalendar peribadi kita urus atur setiakawan dan cinta pada bangsa dan negara.

4 November 2016, Ibu Pejabat JTK Sabah

APAKAH YANG KAUBACA, ANAKKU?

Berdiri dengan kaki menduga kau menghadap dinding duniamu

yang riuh oleh debat abjad yang rusuh oleh tepat angka yang keruh oleh riang satwa yang lusuh oleh segar flora.

Dan dengan telunjuk naifmu kau bina silogisme semu

yang abjad meneriak fakta yang angka menimbun data yang satwa mengumpan canda

yang flora menggambar gerah.

Maka dengan payah bacaanmu kau genggam percaya alami dengan abjad menghimpun­kan setia dengan angka menyaringk­an tipuan dengan satwa menjinakka­n serakah dengan flora menyuburka­n kebersamaa­n.

Anakku, apabila sesekali kau menoleh dan terbaca harapan kami walau berdarah walau berserah pada warna-warni yang memerintah dan diperintah teruskanla­h dengan pembacaanm­u kini semampu dan secerdikmu.

Anakku, apabila sesekali kau memulih dan terlihat catatan perancanga­n kami yang dijunjung dan disanggah konsistenl­ah pada maslahat zamanmu dengan tegas sekuat azammu.

Anakku, apabila berpeluang mengubah cabaran dan membongkar laporan yang lama terbenam jangan lupa, kami telah membina negara bangsa dengan niat terbaik walau konflik tidak pernah serik.

Apakah yang kaubaca anakku? pada dinding di sudut kanak-kanak itu sedang abjad masih murni maknanya sedang angka masih jujur jumlahnya sedang satwa masih jinak dengkurnya sedang flora masih harum tumbuhnya.

Kg. Tengkurus - Sub-station Ulu Membakut November 2017

GELAP GELITA HUJAN

(i)

Tiada bintang membisik terang arah pulang ke dermaga girang kerana hujan malam ini di telinga ia lantang

di mata ia sepi.

Pernahkah kau mendongak bulan ketika lehermu terkunci pada kemudi bahtera ambisi yang kuyup ini?

Kekal degilkah menadah rintik-rintik riak ketika gelap mencerap lahap hingar sinar dari insaf sunyimu?

Dan percayakah kau kepada hayunan nafas samudera ini ketika tiada cahaya tertawa mengiringi dingin mesramu?

Kekal sedarkah kau melontar rintih-rintih ampun walhal basah mendesah resah senyap taubat dari lancang tabiatmu?

(ii)

Tiada bintang akan membisik terang jika hanya hujan masih di telinga ia lantang di mata ia sepi.

11/5/17, Kg. Tengkurus, Kota Belud.

HASSAN JAIDIN dilahirkan di Sindumin, Sabah pada 26 April 1975. Bakatnya dalam penulisan mula dikesan pada tahun 1992 apabila cerpen beliau memenangi Hadiah Sastera Siswa. Setelah itu, beliau meraih beberapa hadiah lagi iaitu Hadiah Sastera Sabah untuk puisi, Hadiah Puisi Hari Kebangsaan Esso-Gapena, dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia untuk kategori puisi dan cerpen. Kini beliau bertugas di Jabatan Tenaga Kerja Sabah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia