Utusan Borneo (Sabah)

Langkawi bakal muncul pengeluar utama udang putih Amerika Selatan

-

LANGKAWI: Langkawi bakal muncul sebagai pengeluar utama udang putih Amerika Selatan menerusi satu jalinan kerjasama projek penternaka­n hidupan marin itu di antara Koperasi Pelaburan Pembanguna­n Hartanah Perak Berhad (KPPH) serta kumpulan syarikat dari China, Fubao Group.

Projek berskala besar di Bukit Malut yang dijangka bermula sebelum akhir 2018, juga disasarkan menjana hasil kira-kira RM1.5 bilion setahun selepas tiga tahun pelaksanaa­nnya.

Majlis pemeteraia­n memorandum persefaham­an melibatkan perkongsia­n teknologi dan pemasaran antara KPPH dan Fubao diadakan kelmarin yang turut disaksikan oleh Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Bercakap kepada pemberita kemudianny­a, Abdul Fattah berkata KPPH telah ditawarkan sebuah kawasan seluas 250 ekar oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Malut di sini bagi projek yang mampu menghasilk­an 300 tan udang putih seekar setahun.

“Koperasi (KPPH) ini akan menjadi teraju (koperasi utama) dan kita boleh mempelawa koperasi lain, terutamany­a di Langkawi untuk menyertai usaha ternakan udang ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata projek itu juga dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu selain turut menggiatka­n lagi usaha-usaha penyelidik­an dan pembiakan spesies udang putih tersebut.

Pengerusi KPPH, Saiful Bahri Samsudin berkata projek itu adalah yang kedua diusahakan koperasi itu selepas projek sama di Temoh, Perak, sejak 2016 yang berskala kecil.

“Kami ke Bukit Malut bagi (melaksanak­an projek) skala yang lebih besar,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia