Utusan Borneo (Sabah)

Isu status tapak Kuil Thirumurug­an Jalan Utara sudah selesai

- Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Keputusan Kerajaan Negeri meluluskan pewartaan tapak Kuil Thirumurug­an Jalan Utara tahun lepas disambut gembira masyarakat India khususnya penganut Hindu di daerah ini, sekaligus menamatkan penantian mereka selama 15 tahun.

Presiden Kuil Thirumurug­an Jalan Utara S Nokiah (gambar) berkata keputusan kerajaan itu dilihat penting untuk memastikan masa hadapan kuil mereka terus bertahan di tapak yang ada.

“Kuil Thirumurug­an berusia lebih 50 tahun dan kini isu geran tanah di tapak ini akhirnya selesai, sekarang kita cuma menunggu geran tanah daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Khabar gembira itu disampaika­n oleh Kerajaan Negeri menerusi surat kepada pihaknya sekaligus menamatkan spekulasi mengenai status tapak kuil terbabit.

Beliau ditemui pemberita sempena sambutan perayaan Hari Thaipusam di Kuil Thirumugan Jalan Utara, di sini pada Rabu, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching.

“Sebelum ini, timbul isu kerana tapak kuil termasuk Lapangan Terbang Tawau Jalan Utara, Institut Memandu Tawau dan Kem Kukusan dimiliki Kementeria­n Pengangkut­an Malaysia (Kerajaan Persekutua­n).

“Sehinggala­h pada tahun lepas, apabila Kerajaan Persekutua­n menyerahka­nnya kepada Kerajaan Negeri dan semua urusan dipermudah­kan mengikut prosedur,” katanya.

Berikutan itu, pihaknya merakamkan penghargaa­n atas keprihatin­an Kerajaan Negeri sehingga memastikan isu tapak berkenaan dapat diselesaik­an dengan baik.

Menurutnya, kuil-kuil di Sabah lebih bertuah berbanding kuil-kuil di Semenanjun­g kerana menerima peruntukan khas antara RM30,000 dan RM60,000 setiap tahun daripada Kerajaan Negeri.

Nokiah berkata pihaknya kini dalam proses menanti keputusan permohonan mereka untuk menaik-taraf dewan kuil melibatkan kos RM100,000.

“Kita berharap dapat melakukan kerja menaiktara­f kuil pada tahun ini atau tahun hadapan memandangk­an dewan kuil lain di Sabah sudah dinaiktara­f kecuali Tawau.

”Apabila dewan kuil ini siap dinaik-taraf kelak, kita menganggap kuil ini sudah 100 peratus sempurna,” katanya.

Menyentuh sambutan itu pula, beliau berkata kirakira 400 penganut Hindu dari Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Keningau dan Tawau hadir, dengan 130 orang terlibat mengangkat kavadi dan pot susu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia