Utusan Borneo (Sabah)

Pemilik restoran kena denda RM15,000

-

KOTA KINABALU: Seorang pemilik restoran warga asing dikenakan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan mengupah seorang pekerja migran haram.

Park Moon Su, 47, yang diwakili peguam Chin Teck Ming dijatuhkan hukuman itu oleh hakim Azreena Aziz, selepas mengaku bersalah.

Jika gagal membayar denda, penjara selama tempoh lima bulan dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh didapati mengupah seorang wanita warga asing yang tidak memiliki pas yang sah, pada 26 Ogos tahun lalu jam 8.35 petang di sebuah restoran, Jalan Istiadat Kompleks Sukan Likas, di sini.

Atas kesalahan itu, Park disabitkan mengikut Seksyen 55 B (Pindaan 2002) yang boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara setahun, atau dengan kedua-duanya untuk setiap pekerja.

Semasa rayuan, Chin memohon agar anak guamnya dikenakan denda minimum, namun beliau tidak menafikan tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau atas kesalahan Seksyen 55 E akta sama, pada dua tahun lalu.

“Bagaimanap­un situasi ini berbeza, dahulu para pekerjanya tidak mempunyai apa-apa dokumen. Sejak daripada itu, tertuduh sangat berhati-hati.

“Sekarang, pekerja terbabit datang menghadiri temu duga dan menyerahka­n kad pengenalan Malaysia. Oleh itu, tertuduh tidak melakukan pemeriksaa­n lanjut,” katanya.

Pegawai Pendakwa Hamisah J Puteh dari Jabatan Imigresen menegaskan, tertuduh pernah dikenakan denda RM5,000 untuk setiap lima migran haram, oleh mahkamah pada 11 November 2016.

“Sebagai seorang warga negara asing yang memegang pas yang dikeluarka­n Jabatan Imigresen, haruslah patuh dengan undang-undang negara,” katanya.

Oleh itu, beliau memohon hukuman yang berat dikenakan terhadap tertuduh agar menjadi pengajaran kepada peniaga yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia