Utusan Borneo (Sabah)

Wanita didakwa kali ketiga kes tipu pakej percutian

-

KAJANG: Selepas dua kali didakwa di mahkamah atas pertuduhan menyalahgu­nakan wang pakej percutian, seorang wanita sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan sama.

Nor Farah Farhan Abdul Fattah, 36, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Fadzilah Isma Ahmad Refngah.

Ibu tiga anak itu didakwa menyalahgu­nakan wang milik Asma Ahmad berjumlah RM3,000 dengan menyatakan ia akan ditukarkan kepada matawang Yen tetapi gagal berbuat demikian di Lot 7174, Jalan Melati 6, Sungai Kantan Peringkat 2, Hulu Langat, pada 8.50 malam, 20 Julai, 2017.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang menangis semasa prosiding itu, didakwa menyalahgu­nakan wang milik Rathiah Shamsudin berjumlah RM4,900 yang dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB milik tertuduh untuk tempahan percutian ke Krygstan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di 1623, Jalan Sungai Ramal Dalam, Ulu Langat, pada 3.16 petang, 12 Sept, 2017. Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Suraya Ahmad menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanap­un peguam Muhamad Aizat Fakri yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah memandangk­an anak kedua wanita itu menghidap penyakit leukimia dan memerlukan rawatan dengan kos yang tinggi.

“Anak guam saya telah memberikan kerjasama yang baik dengan pihak polis sepanjang tempoh reman selama 28 hari, dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya sambil menambah bahawa selepas wanita itu ditahan keluargany­a juga berhadapan masalah kewangan. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia