Utusan Borneo (Sabah)

ALPH, PPKK perlu aktif bantu kempen perangi penyakit tidak berjangkit

-

KUCHING: Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) perlu lebih aktif membantu Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) berkempen memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD)di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata statistik penyakit NCD membimbang­kan dan ia dapat dikurangka­n jika pengesanan serta rawatan awal dibuat.

“ALPH dan PPKK ditubuhkan untuk merapatkan hubungan antara hospital atau klinik dengan masyarakat dalam dua hala, pertama memberi nasihat mengenai kehendak masyarakat kepada kita, kedua menyampaik­an mesej kesihatan kepada masyarakat setempat.

“Jadi kita hendak mereka ini (ALPH dan PPKK) berkempen untuk kesihatan menerusi program-program dirangka oleh KKM terutama mengenai NCD,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama ALPH dan PPKK Negeri Sarawak (Zon Selatan) di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Dr Hilmi berkata KKM kini memberi fokus kepada beberapa NCD antaranya kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan kanser.

“NCD adalah penyakit yang boleh dicegah dan mereka sebagai ALPH dan PPKK diberi penerangan mengenai penyakit ini supaya mereka dapat memberi penerangan kepada masyarakat setempat.

“Selain itu (KKM) telah melancarka­n program dikenali KOSPEN (Komuniti Sihat Pembina Negara) pada 2014, tujuannya melatih anggota masyarakat di setiap kampung dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT),” katanya.

Menurut Dr Hilmi setakat ini KOSPEN telah diwujudkan di 6,000 kawasan dan KKM telah melatih 40,000 sukarelawa­n dan 11,000 lagi daripada anggota KEMAS dan KRT, yang melakukan saringan kesihatan kepada lebih 700,000 rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas.

“Mereka yang dikesan ada abnormal, dari segi darah tinggi atau kencing akan dirujuk kepada klinik kesihatan atau hospital berdekatan untuk mendapat rawatan awal sebelum ia menjadi serius sehingga menimbulka­n implikasi kesihatan yang lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia