Utusan Borneo (Sabah)

Wanita Orang Asli bersalin atas pengusung sebelum sempat naik helikopter

-

GUA MUSANG: Seorang wanita Orang Asli yang sedang sarat mengandung bersalin di atas pengusung sebelum sempat dikejarkan ke Hospital Gua Musang dengan menaiki helikopter menerusi penerbanga­n ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pada Sabtu.

Pegawai Perhubunga­n Awam, Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata Arnie Bah Leman,30, dari Kampung Pahong, Pos Bihai di sini, melahirkan bayi lelaki sulungnya kira-kira jam 4.30 petang.

“Ini merupakan kali pertama kes wanita bersalin di atas pengusung yang kami terima sepanjang melakukan perkhidmat­an ini sejak beberapa tahun lepas,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Farhan berkata pihaknya menerima permohonan penerbanga­n ihsan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak pada jam 1 tengahari Sabtu, sebelum kru penerbanga­n yang diketuai Juruterban­g, Penguasa Kanan Bomba 1, Roslan Aziz menggunaka­n helikopter Agusta A109E bergegas ke lokasi pada jam 3.15 petang.

“Sebaik wanita itu diusung untuk menaiki helikopter, dia terus bersalin atas pengusung dan penduduk kampung terpaksa memanggil bidang kampung bagi menyambut kelahiran bayinya,” katanya.

Mohd Farhan berkata penerbanga­n ihsan itu terpaksa dibatalkan kerana wanita berkenaan telah selamat bersalin.

“Bagaimanap­un, kru penerbanga­n menunggu lebih sejam di kampung berkenaan bagi memastikan wanita itu berada dalam keadaan selamat sebelum mereka berlepas pulang ke Pangkalan Udara Subang pada jam 6 petang,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia