Utusan Borneo (Sabah)

Sabah letak keazaman tinggi untuk mara ke suku akhir

- Oleh DESMOND QWEK

KOTA KINABALU: Sabah meletak keazaman yang tinggi untuk mara ke suku akhir saingan Piala Presiden 2018 yang akan bermula 22 Februari ini.

Sekalipun diundi dalam `kumpulan maut’ bersama Selangor, Kedah dan Johor Darul Ta’zim III dalam Kumpulan A, pengurus pasukan Mohd Yassin Aman yakin anak-anak buahnya berupaya melepasi pusingan pertama yang akan dijalankan secara liga kumpulan.

“Saingan tahun ini menggunaka­n format pertukaran pemain yang baharu. Jika sebelum ini tiga pemain dibenarkan, kini lima pertukaran boleh dibuat dalam satu perlawanan.

“Selain itu, pilihan pemain juga semakin bertambah di mana kini seramai 11 pemain dibenarkan duduk di bangku simpanan berbanding hanya tujuh pemain sebelum ini,” jelas beliau dihubungi Ahad.

“Kita juga berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana telah meluluskan penjaduala­n khas untuk kita untuk bermain dua perlawanan berturuttu­rut setiap kali berkunjung ke Semenanjun­g Malaysia untuk perlawanan di tempat lawan.

“Keputusan FAM ini banyak membantu kita untuk menjimatka­n kos perjalanan khususnya kos menaiki kapal terbang,” tambah Yassin yang akan dibantu oleh ketua jurulatih Johnny Dominicus membimbing pasukan itu.

Turut diundi dalam Kumpulan A ialah Kelantan, MISC-MIFA, Pahang, Perlis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selangor United FC dan Melaka.

Manakala Kumpulan B pula terdiri dari Negeri Sembilan, PKNP FC, Kuala Lumpur, Terengganu FC III, Pulau Pinang, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), PKNS FC, UiTM FC, Felda United FC, Perak dan negeri jiran Sarawak.

Selepas aksi liga kumpulan yang diadakan dua pusingan, empat pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke pusingan kedua suku akhir untuk perlawanan peringkat kalah mati di mana perlawanan suku akhir dan separuh akhir akan berlangsun­g secara timbal balik manakala perlawanan akhir akan berlangsun­g di gelanggang berkecuali yang akan ditetapkan oleh FAM.

Dalam pada itu, Piala Belia 2018 yang akan bermula awal sehari iaitu pada 21 Februari menyaksika­n Sabah juga diundi dalam Kumpulan A bersama Selangor, Felda United FC, Terengganu FC IV, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, PKNP FC, Pahang, PKNS FC, SSBJ B-16 dan SSMP-AMD Cougras B 16.

Kumpulan B pula terdiri dari Perak, Kedah, Sarawak, SSTMI B-17, Kelantan, UiTM FC, Melaka, Negeri Sembilan, Johor Darul Ta’zim IV, Perlis dan SSMP-AMD Panthers B 16.

Persaingan untuk piala itu juga akan berlangsun­g menggunaka­n format pertanding­an yang sama dengan Piala Presiden.

Pasukan Piala Belia Sabah musim ini akan dipimpin oleh pengurus pasukan Azman Mastar dibantu oleh ketua jurulatih Mohd Aiyyman Johny Abdullah.

Tahun ini, Sabah tidak mempunyai wakil dalam saingan Piala FAM 2018 yang akan memulakan aksi pada 25 Februari.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia