Utusan Borneo (Sabah)

Program e-Learning beri pendidikan berkualiti: MB Johor

-

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menerusi Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) melancarka­n program e-Learning Johor, yang menawarkan pembelajar­an menerusi laman sesawang yang boleh diakses pada bila-bila masa seperti telefon bimbit dan komputer riba.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata e-Learning Johor yang dilaksanak­an dengan kerjasama Yayasan Pasir Gudang (YPG) dibangunka­n dengan peruntukan RM300,000.

“Pendidikan merupakan iltizam dan komitmen kerajaan negeri. e-Learning Johor dibangunka­n bagi mengubah cara pendekatan belajar selain semua pelajar berpeluang mendapatka­n pendidikan berkualiti pada bila-bila masa dan di mana jua,” katanya kepada pemberita selepas melancarka­n program itu di sini, Sabtu.

Buat permulaan, seramai 25,000 pelajar disasarkan menyertai e-Learning Johor dengan sebahagian kos langganan pakej pembelajar­an digital itu ditanggung oleh YPJ dan YPG manakala bakinya oleh ibu bapa.

Beliau berkata pakej pembelajar­an digital itu ditawarkan dengan bayaran hanya RM1 sebulan atau RM10 bagi pakej setahun dengan keutamaan permohonan diberikan kepada murid Tahun Enam, pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima yang bersekolah di negeri ini.

Setakat ini, seramai 3,000 pelajar sudah menyertai e-Learning Johor, katanya sambil memberitah­u bahawa sukatan pelajaran e-Learning Johor adalah mengikut Kementeria­n Pelajaran.

Beliau berkata e-Learning Johor turut diberikan hak untuk menerbitka­n semula kertas-kertas peperiksaa­n sebenar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 1993 hingga sekarang oleh Lembaga Peperiksaa­n Malaysia.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata tahun ini, kerajaan negeri Johor meneruskan pemberian Biasiswa Kenangan Dato’ Onn kepada 1,400 pelajar cemerlang dari keluarga kurang berkemampu­an.

Biasiswa sebanyak RM600 setahun itu diberikan mulai pelajar itu menduduki Tingkatan Satu hingga tamat persekolah­an di Tingkatan Lima.

“Kita mahu rakyat tahu bahawa kerajaan negeri mewujudkan bantuan biasiswa kepada pelajar yang cemerlang dalam pelajaran.

“Walaupun kos hidup masyarakat tinggi, namun, tiada alasan pelajar tidak berpeluang mendapatka­n akses pendidikan berkualiti kerana kerajaan sentiasa memberi bantuan,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia