Utusan Borneo (Sabah)

Akta baharu kekang berita palsu perlu disegeraka­n

-

KOTA BHARU: Penggubala­n akta baharu bagi mengekang penyebaran berita palsu di media sosial perlu segera diwujudkan, kata Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial Umno Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata ini kerana berita palsu disebarkan secara berleluasa terutamany­a menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kalau boleh perkara ini dibawa pada sidang Parlimen Mac ini demi kepentinga­n umum,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankua­sa Biro IT 4 Peringkat Umno bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan di sini, pada Isnin.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Ketereh merangkap anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas DAtuk Md Alwi Che Ahmad.

Ahmad berkata cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu adalah langkah tepat dalam menangani konflik berkenaan.

Perdana menteri pada Ahad lepas berkata kerajaan akan mengkaji untuk memperkena­lkan undangunda­ng bagi mengekang berita palsu yang menjadi ancaman kepada kestabilan politik dan ketenteram­an awam.

Susulan itu, satu jawatankua­sa khas telah dibentuk yang dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamata­n Negara (MKN), Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia, badan bukan kerajaan dan anggota Parlimen yang bertanggun­gjawab mengkaji undang-undang berkaitan dan peruntukan baharu untuk dibawa kepada pertimbang­an kabinet.

Menurut Ahmad, pada masa ini sebanyak 43 juta rakyat Malaysia memiliki telefon bimbit manakala 18 juta lagi memiliki akaun Facebook.

Sementara itu, Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno berkata pihak yang tidak menyokong undang-undang mencegah berita palsu adalah mereka yang menyokong penyebaran berita sedemikian di alam maya.

Katanya undang-undang berkaitan perkara itu perlu diwujudkan bagi mengawal situasi media sosial semasa selain sebagai asas tatakelola pentadbira­n sesebuah negara.

“Kita tahu pembangkan­g tidak akan pernah setuju dengan apa-apa cadangan kita kerana mereka khuatir mereka tidak boleh menggunaka­n kaedah tersebut sebagai senjata terakhir sebelum pilihan raya,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia