Utusan Borneo (Sabah)

Buruh warga Indonesia didakwa beri sokongan, miliki bahan berkaitan Daesh

-

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Rabu atas dua pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Daesh yang dipercayai terlibat merancang serangan ke atas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, bulan lepas.

Mohd Al-Arshy Mus Budiono, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagaimanap­un tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Kes-kes di bawah SOSMA akan dibicaraka­n di Mahkamah Tinggi.

Pengakuan tertuduh akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki yang memakai jubah putih itu didakwa dengan pengetahua­n telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan memiliki bahan-bahan berkaitan kumpulan itu, antaranya dua helai bendera kumpulan Daesh, seutas gelang tangan, sehelai kertas A4 , sebilah pisau berserta sarungnya, dan sehelai kain yang kesemuanya dilukis bendera Daesh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun atau denda dan boleh dirampas manamana harta yang telah digunakan atau diniat untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh memiliki bahan-bahan yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan pengganas Daesh di dalam rumah kongsi yang didudukiny­a.

Pendakwaan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahabahan tersebut,jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Pasir Putih Kampung Pasir Petaling, Klang Lama pada 3.30 petang, 17 Jan lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan kepada mahkamah.

Hakim Azura tidak membenarka­n tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh dihukum penjara empat bulan dengan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki pas yang sah untuk masuk ke negara ini.

Majistret Mahyudin Mohmad Som memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 17 Jan lepas.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Jalan Awan Hijau, Taman Overseas, Union, Brickfield­s di sini pada 3 petang,17 Jan lepas mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia