Utusan Borneo (Sabah)

Tukang paip didenda cederakan kenalan, rosakkan kereta

-

KUALA LUMPUR: Garagara mencederak­an kenalan lelaki dan kemudian merosakkan keretanya, seorang tukang paip didenda RM2,900 oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhi hukuman itu terhadap Lee Teck Yew, 48, selepas tertuduh mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Mahkamah menjatuhi hukuman denda RM1,400 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan mencederak­an kenalannya dan RM1,500 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan melakukan khianat.

Tertuduh membayar denda itu.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mencederak­an Pang Wing Wai, 46, seorang peniaga kedai makan, dengan memukul menggunaka­n kaki dan tangan di tepi jalan berhampira­n Blok 11, Flat Seri Johor, Cheras, di sini pada 1.30 pagi, 4 Feb lepas.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia turut mengaku bersalah melakukan khianat dengan merosakkan kereta milik mangsa di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Peguam P.Sutheswary, yang mewakili tertuduh, merayu hukuman denda minimum dengan alasan tertuduh, yang telah bercerai dengan isterinya, perlu menyara seorang anak berusia 16 tahun dan ibu bapanya.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman yang memberi pengajaran.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia