Utusan Borneo (Sabah)

Syair Siti Zubaidah diangkat ke bentuk monodrama

-

SETELAH diadaptasi ke dalam bentuk filem, opera dan teater, karya klasik manuskrip Melayu lama dari abad ke-19, Syair Siti Zubaidah kini dipersemba­hkan pula dalam bentuk monodrama.

‘Siti Zubaidah Sebuah Monodrama’ yang dipentaska­n di Galeri Petronas pada 3 dan 4 Februari lalu merupakan hasil tulisan dan arahan pensyarah yang juga Ketua Jabatan Drama Universiti Malaya Dr Marlenny Deenerwan.

Monodrama merupakan sebuah pementasan yang melibatkan hanya seorang pelakon membawakan pelbagai watak dalam sesuatu karya.

Syair Siti Zubaidah adalah kisah pengembara­an seorang wanita yang menempuh pelbagai cabaran untuk membebaska­n suaminya Sultan Zainal Abidin, yang ditawan puteri dari China.

Marlenny mengakui bukan mudah untuk mengadapta­si karya terkenal dalam bidang kesusaster­aan Melayu ke dalam bentuk monodrama kerana banyak aspek perlu diteliti terutama dalam meringkask­an jalan cerita daripada sebuah syair yang mengandung­i 3,736 rangkap.

Marlenny berkata beliau terpaksa menghasilk­an karya itu dalam tempoh kurang sebulan sebaik dihubungi Galeri Petronas pada hujung Disember lalu untuk mementaska­n Syair Siti Zubaidah bersempena Pameran Alegori yang diadakan mulai 14 Nov lepas.

“Galeri Petronas menyedari keperluan untuk mementaska­n syair ini setelah merasakan pengunjung mungkin sukar hendak memahami atau menghayati maksud manuskrip syair Siti Zubaidah yang dipamerkan sepanjang Pameran Alegori,” katanya.

Beliau berkata cabaran untuk mencari pelakon yang boleh menghayati watak Siti Zubaidah adalah berat kerana ia memerlukan seseorang yang mahir bersyair, menyanyi dan bersilat, beberapa pelakon profesiona­l yang dimahukan pula sibuk dengan pementasan lain.

Akhirnya walaupun gusar kerana watak Siti Zubaidah memerlukan pelakon berpengala­man, beliau percaya dan memberi kepercayaa­n kepada pelajarnya Bahiyah Aminuddin untuk menjadi teraju utama pementasan itu.

“Latihan hanya dijalankan dua minggu, sedangkan sesebuah pementasan itu seelok-eloknya memerlukan persediaan sekurang kurangnya sebulan sebelum dipentaska­n,” katanya yang menjadikan artikel dan filem klasik Siti Zubaidah lakonan Datuk Maria Menado dan Nordin Ahmad sebagai sumber rujukannya.

Marlenny yang berpengala­man 20 tahun dalam bidang seni persembaha­n teater amat berpuas hati dengan pementasan monodrama itu dan kagum dengan kebolehan Bahiyah menjiwai watak Siti Zubaidah dengan amat berkesan.

Sementara itu, Bahiyah, 21, pelajar tahun pertama jurusan drama di universiti itu berkata beliau berasa gugup ketika melakonkan watak Siti Zubaidah di hadapan khalayak ramai, namun bersyukur dapat melunaskan tugas diberikan selain terharu dengan respons positif penonton.

Beliau yang terpaksa menahan sakit otot dan urat sehingga demam berkata latihan lima jam setiap hari selama dua minggu amat mencabar baginya.

“Saya merasakan ia tidak cukup kerana masih banyak yang perlu dipelajari khususnya teknik bersilat dengan betul, namun saya bertekad untuk memainkan watak ini dengan sebaik mungkin selain ingin membalas budi Dr Marlenny yang memilih saya sebagai pelakon,” katanya yang meminati bidang pengarahan. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia