Utusan Borneo (Sabah)

Tiga daripada 23 keputusan sampel positif virus rabies

-

KUCHING:Sebanyak tiga daripada 23 keputusan sampel yang diterima daripada VRI, Ipoh adalah positif virus rabies.

Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak (JPVS) mendedahka­n perkara tersebut selepas mendapat balik sampel berkenaan yang telah melalui ujian FAT, PCR dan RTCIT sebelum ini.

Sampel berkenaan adalah daripada dua anjing liar di pasar Simunjan, Samarahan dan Taman Yen Yen Matang di sini.

Manakala satu lagi sampel melibatkan kes anjing bertuan di Kampung Gawang Empili, Simunjan.

Daripada jumlah pemvaksina­n keseluruha­n dilakukan di Sarawak setakat ini, 82 kes melibatkan anjing adalah positif rabies.

Kuching masih mencatatka­n jumlah tertinggi kes gigitan haiwan iaitu 17 kes diikuti Samarahan lapan kes, Serian tujuh kes dan Sarikei dua kes.

Justeru, JPVS sentiasa mengingatk­an semua pihak supaya mengelak haiwan kesayangan sama ada telah divaksin atau belum daripada bercampur dengan haiwan terbiar dan memerhati perubahan sikap haiwan tersebut daripada jinak kepada ganas, menggigit sebarang benda bergerak, hidrofobia terhadap air dan cahaya, menyendiri dengan air liur berlebihan dan kelihatan gelisah.

Haiwan yang menunjukka­n tanda-tanda tersebut hendaklah dilaporkan kepada JPVS di talian 082-612949 atau 082-611607 dengan segera.

JPVS juga ingin mengingatk­an bahawa di bawah Seksyen 37(2) & (3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, adalah menjadi kesalahan untuk membiarkan anjing lepas bebas dan membawa keluar anjing tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa veterinar negeri dari kawasan wabak rabies.

Denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya dikenakan jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing diminta segera bertindak melakukan pemeriksaa­n di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat.

Pada masa yang sama, orang ramai turut diingatkan sentiasa menghindar­kan diri daripada gigitan haiwan terutama anjing.

Sekiranya digigit, mereka perlu mengambil langkah pencegahan segera dengan mencuci luka bahagian terkena gigitan dengan sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit dan segera mendapatka­n rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia