Utusan Borneo (Sabah)

11 pengedar dadah ditahan di Bukit Mertajam

-

BUKIT MERTAJAM, 10 Feb (Bernama) -- Polis menahan 11 lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai bahan terlarang itu dalam dua serbuan di Bukit Mertajam, pada Rabu dan Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam serbuan pertama pada Rabu, polis menahan enam lelaki berusia 22 hingga 38 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Markisah dipercayai sedang menjalanka­n urus niaga dadah.

“Dalam serbuan pukul 11.30 pagi itu, polis merampas dadah heroin seberat 47.77 gram (g), syabu (26.01g) dan peralatan membungkus serta menghisap dadah.

“Selain menjadikan rumah milik seorang daripada lelaki itu sebagai lokasi menjual bahan terlarang berkenaan, kediaman tersebut turut dijadikan lokasi menghisap dadah penagih di kawasan itu,” katanya di sini pada Sabtu.

Nik Ros Azhan berkata dalam serbuan kedua pada Khamis di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Song Ban Kheng, di sini polis menahan lima lelaki berusia 29 hingga 51 tahun dan merampas syabu dan pil erimin 5 bernilai RM5,000.

Katanya berdasarka­n siasatan sindiket pengedaran dadah itu berselindu­ng di sebalik perniagaan bengkel kenderaan untuk menjual bahan terlarang berkenaan sejak tahun lepas dan menurutnya 11 lelaki itu yang mempunyai pelbagai rekod lampau serta positif dadah kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Nik Ros Azhan berkata polis turut menahan dua lelaki geng curi kabel di sekitar daerah SPT, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan sejak tahun lepas dan sedang giat memburu seorang rakan mereka yang meloloskan diri dalam operasi pada kira-kira 3.30 petang pada Jumaat.

Katanya seorang daripada lelaki itu ditahan dalam bilik hotel di Jalan Sungai Rambai yang disewa tiga lelaki itu dan polis turut menemukan beberapa peralatan untuk mencuri kabel di dalam bilik itu.

“Dua rakannya yang berada dalam kereta Proton Wira cuba melarikan diri dan telah cuba melanggar kereta polis sehingga anggota berkenaan terpaksa melepaskan melepaskan satu das tembakan yang terkena tayar belakang kanan kereta itu.

“Polis bertindak mengejar sejauh 10 kilometer sebelum kenderaan suspek terbabas selepas melanggar sebuah kereta orang awam. Polis berjaya menahan seorang daripada suspek iaitu lelaki berusia 22 tahun manakala rakannya melarikan diri ke arah hutan kelapa sawit,” katanya.

Katanya dua lelaki itu yang mempunyai rekod jenayah dan dadah kini direman bagi membantu siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia