Utusan Borneo (Sabah)

Kes bayi meninggal disyaki berkaitan khidmat doula disiasat

-

JOHOR BAHRU: Polis Johor melakukan siasatan awal berhubung penularan berita kematian seorang bayi yang baharu dilahirkan, disyaki berkaitan dengan khidmat doula (pembantu ketika melahirkan) di sebuah rumah di Johor Bahru, barubaru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengesahka­n pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu dan juga laporan polis daripada seorang wanita berusia 30 tahun yang dipercayai adalah doula terbabit.

“Memang ada keluar banyak kenyataan dalam Facebook (FB) berhubung kejadian ini dan wanita yang dikatakan doula itu juga tampil membuat laporan polis menafikan tuduhan bahawa dia terbabit dengan kejadian yang menyebabka­n kematian bayi itu.

“Kita juga sudah merujuk dengan keluarga yang melahirkan bayi itu, namun menurut kenyataan awal mereka tiada menyebut tentang hal doula ini. Jadi, kita mulakan semula siasatan terperinci berdasarka­n kenyataan dalam FB,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Johor, di sini, Sabtu.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan daripada ibu bayi itu yang ketika ini berada di kampung dan mahu memberi ruang kepadanya untuk berehat sebelum mengambil keterangan semula.

“Kita juga akan merakamkan percakapan daripada doula yang membuat laporan polis itu, jadi buat masa sekarang saya belum boleh mengesahka­n sama ada kenyataan dalam FB itu benar atau tidak,” katanya.

Mohd Khalil Kader berkata pihaknya masih belum dapat mengklasif­ikasikan kes itu kerana siasatan awal belum dapat mengenal pasti apakah bentuk kesalahan yang berlaku.

“Sekiranya kenyataan dalam FB itu ada berlaku unsur fitnah, maka ia akan dirujuk ke Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika benar proses kelahiran itu ada membabitka­n apa-apa kesalahan, kita rujuk kepada Kementeria­n Kesihatan dan lihat seksyen yang sesuai sebelum mengambil tindakan,” katanya.

Kes kematian bayi ketika dilahirkan itu tular dalam FB baru-baru ini apabila bayi berkenaan kononnya telah dilahirkan dengan cara ‘homebirth’ dan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi ketika dalam pengawasan doula.

Kes itu turut mendapat perhatian Medical Mythbuster­s Malaysia (3M) yang mengeluark­an surat terbuka kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk campur tangan dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya melahirkan anak tanpa kehadiran pakar perubatan.

Dalam kenyataan kumpulan perubatan itu terdapat beberapa kumpulan dan individu tertentu yang aktif mempromosi­kan khidmat doula ini atau kelahiran alami tanpa campur tangan doktor dan bantuan perubatan.

Kumpulan itu turut mendakwa ‘kumpulan doula’ terlibat juga aktif di Johor, selain turut ‘menggalakk­an’ ibu-ibu mengandung supaya menolak suntikan vaksin dan pemeriksaa­n kesihatan berkala seperti ujian air gula dan ultrasound.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia