Utusan Borneo (Sabah)

Idris arah siasat kemungkina­n wujud atur perlawanan libat MU

-

MELAKA: Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron mengarahka­n Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menyiasat kemungkina­n berlaku pengaturan perlawanan membabitka­n pemain pasukan itu susulan kekalahan teruk pasukan tersebut pada perlawanan kedua Liga Super menentang Selangor baru-baru ini.

Idris yang juga Presiden MUSA berkata siasatan mengenai kekalahan besar pasukan Melaka United (MU) 4-1 kepada Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada Selasa lalu sedang dijalankan oleh pihak pengurusan.

“Itu adalah satu petanda tidak baik bagi pasukan MU dan saya mengarahka­n pengurus pasukan melakukan kajian secara terperinci aspek kebolehupa­yaan jurulatih dan pemain import yang mungkin berhadapan risiko diberhenti­kan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Pengurus pasukan Melaka United Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang dihubungi Bernama berkata pihaknya mengambil berat saranan presiden MUSA dan akan melakukan siasatan lebih terperinci termasuk melakukan analisis terhadap video perlawanan.

“Sekiranya terdapat unsur-unsur pengaturan perlawanan, pihak pengurusan MUSA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pemain namun masih terlalu awal untuk saya komen,” katanya.

Mohd Yusoff berkata kekalahan besar MU pada aksi menentang Selangor itu kerana pemain masih belum mencapai keserasian bermain secara berpasukan dan masih terlalu awal untuk membuat sebarang tanggapan.

“Pada malam itu (ketika perlawanan menentang Selangor) pemain kami bermain dengan baik namun saya tidak sangka MU akan kalah teruk,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden MUSA berkata pihaknya sentiasa melakukan analisis perlawanan setiap kali tamat perlawanan bagi mengenal pasti punca kekalahan pasukan dan ia dilakukan secara berterusan.

Mohd Yusoff berkata semua pemain MU tidak kira sama ada pemain import ataupun pemain tempatan berada dalam pemerhatia­n pihak pengurusan dan mereka yang gagal memenuhi harapan pasukan tidak mustahil akan digugurkan pada pertengaha­n musim. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia