Utusan Borneo (Sabah)

Wanita mati, leher dikelar

-

SERIAN: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dengan kesan kelaran di lehernya di Kampung Bedup di sini, pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata, mangsa dikenali sebagai Natalia, 36, seorang suri rumah, ditemui oleh suaminya dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di rumah mereka sekitar jam 1.35 petang.

Difahamkan, si suami, 35, seorang warga tempatan, kemudian segera ke balai polis untuk melaporkan perkara itu.

“Suami mangsa yang merupakan seorang petani dikatakan baharu pulang selepas mengambil anak perempuan mereka yang berusia lapan tahun dari sekolah dan menemui isterinya tertiarap atas lantai dalam keadaan berlumuran darah.

“Dia (suami) kemudian terus ke Balai Polis Serian memaklumka­n mengenai perkara itu,” kata Dev dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Anggota paramedik yang hadir di lokasi kejadian mengesahka­n mangsa telah meninggal dunia. “Mangsa meninggal dunia dengan terdapat kesan luka disyaki dikelar di bahagian lehernya,” kata Dev.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serian untuk bedah siasat.

Anggota dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Unit Anjin Pengesan (K9) turut dikerahkan ke tempat kejadian untuk menjalanka­n siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, pihak polis turut menahan suami mangsa untuk membantu siasatan.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti pembunuh dan motif pembunuhan,” jelas Dev.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia