Utusan Borneo (Sabah)

71 murid SK Tasek Apong alami gejala keracunan makanan

-

ALOR SETAR: Seramai 71 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Apong di Sungai Petani mengalami gejala keracunan makanan seperti muntah, cirit-birit dan sakit perut sejak semalam selepas disyaki memakan nasi lemak berlaukkan ayam dalam program merentas desa sekolah itu Sabtu lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda menerima maklumat kejadian muntah, cirit-birit dan sakit perut dalam kalangan murid sekolah terbabit pada 10 pagi semalam melalui waris murid berkenaan.

Beliau berkata sehubungan itu, lawatan pihak pejabat kesihatan daerah itu ke sekolah berkenaan pada 10.30 pagi hari yang sama mendapati seramai 66 murid tidak hadir ke sekolah dan pemeriksaa­n lanjut dijalankan hari ini mendapati sejumlah 71 murid keseluruha­nnya mengalami gejala sama.

“Dua murid mendapatka­n rawatan di hospital swasta dengan seorang telah dibenarkan keluar wad dan seorang lagi masih di wad dan stabil. Tiga murid mendapatka­n rawatan di HSAH (Hospital Sultan Abdul Halim) dengan gejala yang sama dan dirawat sebagai pesakit luar manakala lain-lain pelajar selebihnya mendapatka­n rawatan sendiri di rumah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Isnin.

Dr Norhizan berkata siasatan awal mendapati jenis makanan yang disyaki penyebab keracunan makanan itu adalah nasi lemak berlauk ayam yang ditempah daripada katerer luar bagi program merentas desa yang disertai kira-kira 480 murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam sekolah itu namun siasatan lanjut masih giat dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa atau waris membawa anak mereka mendapatka­n rawatan di klinik kesihatan berhampira­n sekiranya mempunyai gejala sedemikian serta mempunyai sejarah memakan makanan yang dijual semasa aktiviti merentas desa di sekolah sama pada tarikh kejadian.

”Pihak sekolah dinasihatk­an agar menjual makanan melalui kantin sekolah kerana pengendali makanannya terlatih selain diminta memantau keadaan murid dan memaklumka­n kepada pejabat kesihatan berhampira­n sekiranya masih ada kes sedemikian,” katanya.

Dr Norhizan berkata orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa mengamalka­n amalan cuci tangan sebelum dan selepas makan serta sentiasa menjaga kebersihan diri selain amalan lihat, hidu dan rasa ke atas makanan yang dibeli atau sebelum makan untuk memastikan makanan yang dimakan itu selamat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia