Utusan Borneo (Sabah)

MAUT SELEPAS BERTUNANG

Dua kereta bertembung di Kilometer 5 Jalan Keningau-Tenom

- Oleh DELLROY

TENOM: Seorang lelaki 23 tahun yang baru sahaja selesai melangsung­kan majlis pertunanga­n di Kampung Tuan di sini maut dalam satu kejadian kemalangan semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gunting yang berlaku pada jam 8.15 malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Deputi Superinten­dan Mohamad Firdaus Abdullah yang mengesahka­n perkara itu ketika dihubungi media berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Jovison Leonard Lajuh.

Katanya, hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati kereta Proton Saga yang dipandu oleh mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Keningau menuju ke Pekan Tenom.

“Apabila sampai di satu selekoh di Kilometer 5, kereta mangsa telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentang­an dan bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berumur 65 tahun yang dalam perjalanan dari arah Pekan Tenom menuju ke Keningau,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Proton Saga yang mengalami cedera parah di bahagian kepala telah dibawa oleh ambulan dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tenom semasa mendapatka­n rawatan, manakala pemandu Proton Waja mengalami cedera ringan di bahagian dada dan mendapatka­n rawatan di hospital yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkut­an Jalan APJ 1987.

Dalam perkembang­an lain, seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun maut tertembak ketika memburu di kawasan hutan Kampung Salung, Nabawan kira-kira 122 kilometer dari Pekan Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superinten­dan Ahmad Jawila berkata, hasil maklumat orang awam mendapati kejadian berlaku pada jam 9 malam 13 Februari.

Katanya, apabila mendapat laporan, polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa ditemukan meninggal dunia dengan kesan tembakan pada dada, badan dan kepala.

“Polis turut menemui selaras senapang bakakuk dan tiga kelongsong peluru pada mangsa,” katanya pada sidang media pada Khamis.

Katanya, hasil siasatan lanjut, seorang lelaki berumur 55 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 1 pagi 14 Februari dan polis merampas senapang jenis bakakuk yang digunakan suspek bersama satu kelongsong peluru yang telah digunakan.

Jelasnya, suspek telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 ??  ?? KEADAAN kereta mangsa yang remuk teruk selepas kemalangan itu.
KEADAAN kereta mangsa yang remuk teruk selepas kemalangan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia