Utusan Borneo (Sabah)

Penduduk rayu campur tangan PBT usir warga asing

- Oleh JAINUDIN NASIR

RANAU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dirayu campur tangan untuk mengusir warga asing yang tinggal di rumah-rumah setinggan sekitar Kampung Tanah Merah, kira-kira 5 kilometer dari Pekan Ranau.

Ketua Kampung Tanah Merah Marin Koraman (gambar) berkata, kehadiran serta pertambaha­n bilangan warga asing di kampung itu semakin membimbang­kan dan mengganggu keamanan penduduk.

“Mereka tinggal di rumah serta pondok yang mereka bina sendiri di atas tanah kerajaan sekitar Kg Tanah Merah dan kawasan rizab jalan raya.

“Bilangan mereka semakin bertambah dari semasa ke semasa dan ini bakal mengundang pelbagai masalah termasuk jenayah,” katanya.

Hasil siasatan beliau sendiri, ada dalam kalangan warga asing berkenaan tidak mempunyai dokumen diri yang sah selain disyaki terlibat dengan pengedaran syabu dan penyalahgu­naan dadah.

“Salah seorang penduduk kampung datang berjumpa saya mendakwa pernah diugut oleh salah seorang warga asing yang sudah tinggal lama di kawasan itu supaya tidak melaporkan kegiatan haram mereka kepada pihak berkuasa,” katanya.

Selain itu, beliau juga menerima aduan daripada salah seorang guru sekolah yang juga pemilik rumah di kawasan itu, yang mengesyaki berlaku penyambung­an paip air daripada batang paip miliknya ke kawasan setinggan.

Justeru katanya, pihak berkuasa di daerah ini terutama polis, imigresen, Rela, MDR serta agensi berkaitan diminta tampil campur tangan membantu penduduk mengatasi masalah berkenaan sebelum perkara lebih buruk berlaku.

“Saya tidak mampu dan berani bertindak sendirian walaupun saya ada kuasa selaku ketua kampung. Ia kerana, bilangan mereka semakin ramai dan terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Saya juga merayu agar pemimpin-pemimpin di daerah ini terutama wakil rakyat kawasan Paginatan dan Ahli Parlimen Ranau turut tampil membantu,” rayu beliau.

Marin berkata, beberapa laporan telah dibuat kepada pihak berkenaan tetapi sehingga sekarang belum ada tindakan yang diambil.

“Beberapa tahun lalu, operasi bersepadu pernah dibuat oleh pihak imigresen dan Rela, namun tidak memberi impak yang positif malah warga asing di situ semakin bertapak dan hidup bebas seolah-olah mereka dilindungi pihak tertentu,” katanya.

 ??  ?? PERUMAHAN setinggan yang dihuni warga asing di Kg Tanah Merah.
PERUMAHAN setinggan yang dihuni warga asing di Kg Tanah Merah.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia