BPHB jamin penyerapan GHSE dalam operasi kerja, perniagaan
BINTULU: Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) akan memastikan sistem Keselamatan dan Alam Sekitar Kumpulan (GHSE) berkesan dimasukkan ke dalam semua operasi kerja dan perniagaannya.
KetuaPegawaiEksekutifKumpulan BPHB Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, cara pengurusan keselamatan menggambarkan secara langsung pengurusan keseluruhan syarikat tatkala pelanggan dan pihak berkepentingan mengharapkan persekitaran kerja yang selamat dan prihatin terhadap alam sekitar.
“Saya melontarkan cabaran kepada kakitangan untuk memberikan kepimpinan dan komitmen yang jelas kepada pelbagai elemen program keselamatan.
“Objektifnya adalah untuk tidak membahayakan orang ramai, harta benda dan alam sekitar,” katanya pada perasmian Program Toolbox Talk Perdana 2018 dan pelancaran rasmi 12 Peraturan ZeFA, maskot baharu Tok Tih ‘Buaya Putih’, Kelab Sukan dan Rekreasi Kumpulan Bintulu Port di Auditorium Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) Menara Kidurong di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, pada tahun ini beliau meminta GHSE merancang program pengemudian pengurusan untuk menunjukkan komitmen korporat kepada HSE serta diharap akan mendapat sokongan dan kerjasama daripada semua peringkat pengurusan dalam memastikan objektif keselamatan dapat dicapai.
“Keselamatan akan menjadi bahagian penting daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan sasaran kami, dari peringkat ketua pegawai eksekutif kumpulan sehingga ke peringkat paling rendah,” katanya.
Mohammad Medan berkata, salah satu program keselamatan yang memberi tumpuan kepada isu pengurusan kontraktor adalah syarat HSE untuk kontraktor.
Beliau berkata, peruntukan mengenai Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) dalam kontrak sedang dibangunkan HSE dan peguam kumpulan sebelum dilaksanakan BPHB tahun ini untuk membawa tumpuan tambahan ke kawasan berisiko tinggi dan menjaga keselamatan.
Beliau berkata, peraturan keselamatan yang terdiri daripada Peraturan Emas HSE dan Peraturan Menyelamat Hayat (LSR) telah diwujudkan.
“Syarikat-syarikat yang berprestasi terbaik beroperasi dalam kerangka kerja peraturan dan mempercayai pekerja mereka untuk melakukan perkara yang betul.
“Peraturan keselamatan adalah mudah dan ringkas dan jika melakukan apa yang dikatakan, ia akan menyelamatkan nyawa dan melindungi tubuh dan anggota. Terdapat 14 LSR yang dilaksanakan sejak 2016,” katanya.
“Kajian ini menghasilkan LSR baharu yang meliputi 12 Kaedah Keselamatan dan ini dijenamakan semula sebagai Kaedah ZeFA (Sifar Kemalangan dan Kematian) dan tahun ini akan memberi fokus penuh dalam perkara ini,” jelasnya.