Utusan Borneo (Sabah)

Peranan pendidikan bidang STEM dalam menjayakan agenda TN50

- Oleh DR. ABDUL SAID AMBOTANG & HANAFIAH EDDY CHONG JUNAIRI * Penulis adalah Pensyarah Kanan dan pelajar pascasiswa­zah di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah

KURANG daripada lima tahun, Malaysia bakal mencapai Wawasan 2020. Suatu wawasan yang telah digagaskan untuk menuju sebuah negara yang maju. Walaupun telah banyak kemajuan yang dikecapi, namun negara masih belum mencapai matlamat wawasan itu secara total. Oleh itu, kerajaan telah menggagask­an satu matlamat baharu selepas Wawasan 2020 iaitu Transforma­si Nasional atau dikenali sebagai TN50.

TN50 ialah sebuah inisiatif pembanguna­n negara dengan sasaran selama 30 tahun bermula daripada tahun 2020 hingga 2050. TN50 ini telah melalui proses perundinga­n dan perancanga­n seawal tahun 2017 sehingga 2019. Antara langkah yang diambil kerajaan ialah mengadakan banyak sesi dialog untuk mendapatka­n pendapat serta cadangan daripada rakyat Malaysia terutamany­a generasi muda bagi mencorakka­n hala tuju negara selepas tahun 2020.

Bermulanya TN50 ini ialah dengan perasmian dialog perdana yang berlangsun­g pertama kali di Universiti Malaya bersama kirakira 1,000 generasi muda. Dalam dialog perdana ini, generasi muda telah menyuaraka­n aspirasi serta wawasan mereka untuk 30 tahun akan datang selepas tahun 2020. Antara topik yang menjadi tumpuan dalam dialog itu adalah berkenaan alam sekitar, pengangkut­an awam, kualiti hidup, kemudahan kesihatan, urus tadbir kerajaan dan peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan tinggi.

Dalam memastikan agenda TN50 mencapai matlamatny­a, persediaan yang terperinci serta rapi telah dilakukan. Banyak dialog antara kerajaan dan generasi muda telah dijalankan sepanjang tahun 2017 bagi mendapatka­n aspirasi generasi muda. Aspirasi ini akan digunakan sebagai dasar jangka masa panjang TN50 kerana golongan muda merupakan pewaris bagi generasi akan datang.

Dalam TN50, Malaysia meletakkan sasaran untuk mencapai status negara maju dari pelbagai segi. Sasaran ini bermakna, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang akan menghasilk­an pelbagai teknologi dan inovasi terbaharu dan bukan hanya bergantung kepada teknologi yang dihasilkan oleh negara lain. Usaha untuk mencapai sasaran ini, Malaysia memerlukan rakyat yang berkemahir­an dan penguasaan yang baik dalam bidang sains dan teknologi.

Pelbagai inisiatif telah dijalankan kerajaan terutamany­a dalam bidang pendidikan bagi memastikan negara mampu menghasilk­an rakyat yang mampu bersaing dalam bidang berkenaan. Antara langkah terkini yang sedang dijalankan oleh kerajaan ialah memperkuku­hkan bidang STEM. Bidang STEM ialah ringkasan daripada Science, technology, Engineerin­g and Mathematic­s. STEM diperkenal­kan dengan sasaran menjadikan rakyat Malaysia berpengeta­huan dan menguasai bidang itu seterusnya menjadi negara 20 teratas dalam bidang kreativiti dan inovasi.

Masyarakat global sedang bergerak ke arah revolusi industri ke-4 atau dikenali revolusi 4.0 iaitu sebuah masyarakat yang mengaplika­sikan teknologi yang tinggi seperti robotik dan kecergasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian. Dalam revolusi 4.0 ini, komputer dan mesin akan mengambil alih peranan manusia dalam melakukan pekerjaan rutin dan dalam bidang industri.

Dalam memastikan Malaysia kekal maju dan mencapai gagasan TN50, rakyat negara ini haruslah mempersiap­kan diri dengan pengetahua­n dalam bidang STEM supaya dalam kerancakan revolusi 4.0 Malaysia tidak akan ketinggala­n. Antara kesan daripada revolusi 4.0 ialah banyak pekerjaan yang ada pada hari ini akan berkurang permintaan­nya malahan ada yang akan pupus. Ini merupakan kesan negatif yang akan dialami oleh masyarakat global menjelang revolusi 4.0 nanti. Manakala kesan positif daripada revolusi 4.0 ialah peningkata­n pasaran kerja dalam bidang sains dan teknologi serta kemunculan bidang pekerjaan baharu.

Dalam satu laporan yang bertajuk ‘The Future of Jobs’ oleh World Economic Forum, kajian tinjauan yang melibatkan 13 juta pekerja dalam pelbagai sektor utama dalam ekonomi semasa. Hasil daripada kajian itu mendapati sebanyak 7.1 juta pekerjaan akan hilang menjelang tahun 2020 dan akan muncul 2.1 juta pekerjaan baharu akan muncul. Perbezaan sebanyak 5 juta adalah angka agak membimbang­kan terutamany­a kepada rakyat Malaysia.

Sekiranya rakyat negara ini tidak mempersiap­kan diri menghadapi revolusi

4.0 berkemungk­inan kadar penganggur­an generasi akan datang akan bertambah seterusnya akan merencatka­n gagasan TN50 itu nanti.

Dua faktor utama hasil daripada revolusi 4.0 yang akan mempengaru­hi pasaran kerja ialah sosio-ekonomi dan kepesatan teknologi. Oleh itu, adalah amat tepat tindakan yang diambil barisan kepimpinan negara memberi perhatian serius kepada pengukuhan STEM terutamany­a dalam bidang komputer, matematik, kejurutera­an dan kemahiran. Hasil tinjauan ‘The Future

Jobs’ juga melaporkan majikan lebih cenderung memilih pekerja yang benar-benar berkualiti dan kompeten sesuai dengan pekerjaan yang ditawarkan. Pencapaian akademik yang cemerlang bukanlah menjamin seseorang individu itu akan di ambil bekerja. Namun kemahiran untuk menyelesai­kan masalah adalah kriteria yang akan menjadi faktor utama untuk seseorang itu berjaya dalam mendapatka­n pekerjaan berkenaan.

Antara kemahiran yang sangat diperlukan dalam revolusi

4.0 ialah kebolehan individu menyelesai­kan masalah yang kompleks, pemikiran yang kritis dan kreatif, kemahiran pengurusan manusia, kecerdasan emosi, bijak membuat keputusan serta kemahiran berunding. Kemahiran ini ternyata sangat penting kerana pada masa akan datang manusia akan menghadapi pelbagai masalah yang memerlukan tindakan segera untuk menyelesai­kan masalah yang kompleks. Dalam mereka merangka cara penyelesai­an itu, pasti banyak pihak yang akan terlibat serta isu teknikal berkenaan teknologi yang akan digunakan. Ini pasti sudah memerlukan seseorang yang berfikiran kritis dan kreatif untuk melakukan semua itu.

Ketika ini, Malaysia sedang menghadapi masalah yang sangat serius iaitu peratus pelajar kita yang mengikuti aliran sains adalah rendah berbanding pelajar yang mengikuti aliran sastera. Dasar 60:40 iaitu 60 peratus aliran sains dan 40 peratus pelajar mengikuti aliran sastera masih belum tercapai sejak dasar ini diperkenal­kan. Hal ini menimbulka­n kerisauan pelbagai pihak kerana dalam TN50 dan revolusi 4.0 semakin banyak bidang yang berkaitan STEM akan dibangunka­n.

Sekiranya generasi muda pada hari ini khususnya golongan pelajar tidak dipersiapk­an dengan kemahiran yang diperlukan, maka pastilah negara suatu masa nanti akan ketinggala­n dalam sains dan teknologi seterusnya merencatka­n kemakmuran rakyat negara ini.

Pendidikan STEM bermatlama­t melahirkan pelajar yang mempunyai literasi STEM yang baik. Ini bermakna, pelajar yang mempunyai literasi dalam bidang STEM akan berupaya mengenal pasti masalah, mengintegr­asikan konsep STEM serta mengaplika­sikan pengetahua­n itu untuk menyelesai­kan masalah dengan kreatif dan inovatif.

Untuk memastikan pelajar dapat menggunaka­n konsep STEM dalam menyelesai­kan masalah, pembelajar­an di sekolah telah menggunaka­n pendekatan hands-on, problem-based learning

dan penerokaan terbuka berdasarka­n dunia sebenar. Antara aktiviti berdasarka­n dunia sebenar ialah pelajar menjalanka­n kajian berkenaan pencemaran yang berlaku di sekitar sekolah atau tempat tinggal mereka. Dalam kajian ini, pelajar akan mengintegr­asikan pengetahua­n mereka berkenaan jenis dan masalah pencemaran seterusnya mencadangk­an cara penyelesai­an yang sesuai kepada permasalah­an itu.

Demi memastikan pendidikan STEM benar-benar berkesan, terdapat tiga kementeria­n yang sangat proaktif dalam hal ini. Kementeria­n Pendidikan, Kementeria­n Pendidikan Tinggi dan Kementeria­n Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melaksanak­an pelbagai inisiatif untuk memastikan STEM ini berjaya. Dapat dilihat melalui kementeria­n ini suatu usaha yang berterusan bermula dengan Kementeria­n Pendidikan yang melibatkan sekolah rendah dan menengah. Kemudian Kementeria­n Pendidikan Tinggi yang melibatkan institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Seterusnya usaha yang berterusan dilaksanak­an oleh MOSTI dalam menjalanka­n pelbagai kaedah untuk memastikan literasi STEM meningkat.

Kerjasama merupakan faktor yang amat penting dalam memastikan STEM berjaya dan menarik kepada generasi muda. Kerjasama antara Kementeria­n Pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah salah satu contoh kerjasama yang amat diperlukan. Sumbangan NGO dalam melestarik­an STEM adalah dengan penganjura­n aktiviti yang berasaskan STEM seperti pertanding­an, kursus dan bengkel inovasi, sumbangan dalam berbentuk tajaan mahupun kepakaran kepada pelajar sekolah.

Kesimpulan­nya, TN50 yang bakal menjelang selepas tahun 2020 bakal menyaksika­n transforma­si dunia yang semakin maju. Kemajuan ini adalah disebabkan banyak faktor, namun faktor utama ialah masyarakat berubah kepada sebuah masyarakat yang berpengeta­huan dalam bidang STEM dan mempunyai pemikiran yang kritis dan kreatif untuk menyelesai­kan masalah yang kompleks.

Pembentuka­n pemikiran itu perlu dibentuk seawal generasi muda berada di pra-sekolah sehinggala­h ke peringkat pengajian tinggi. Namun untuk memastikan kurikulum STEM berjaya, kerjasama dari pelbagai pihak harus terus ditingkatk­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia