Utusan Borneo (Sabah)

Rasuah: Pemilik bas dipenjara sehari, denda RM11,000

-

KUANTAN: Seorang pemilik bas dihukum penjara sehari dan denda RM11,000 selepas mengaku salah memberi rasuah RM500 kepada Ketua Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ), Ahad lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Dazuki Ali juga memerintah­kan supaya R.Muthusamy, 67, dipenjarak­an selama lima bulan, jika gagal menjelaska­n denda tersebut.

Muthusamy didakwa memberi suapan itu dalam bentuk wang tunai kepada Shahrul Sharizal Mt Jawahir yang semasa itu bertugas di Stesen Penguat Kuasa JPJ Karak, Bentong dekat sini pada pukul 2.45 petang, 18 Feb lalu.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan kepada Shahrul Sharizal untuk melepaskan bas miliknya bernombor pendaftara­n PATRIOT 9772 yang dipandu oleh seorang yang tidak mempunyai lesen memandu bas.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang berasal dari Sungai Marong, Bentong didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Akta itu memperuntu­kkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman paling minimum atas alasan dirinya sudah insaf dan mempunyai penyakit kencing manis serta jantung dan perlu menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya perlu menjalani pemeriksaa­n di IJN pada minggu depan. Saya tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada anak-anak. Saya ada seorang isteri dan empat orang anak,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamri bagaimanap­un memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak terlibat dengan rasuah.

“Tertuduh telah berkeras mahu memberikan rasuah supaya basnya tidak ditahan walaupun pegawai JPJ tersebut telah memberikan amaran bahawa dia tidak mengambil suapan. Semasa ditahan, bas itu juga membawa penumpang,” katanya.

Tertuduh menjelaska­n denda itu.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia