Utusan Borneo (Sabah)

Ombak besar tidak melunturka­n semangat Soong

-

KUCHING: Melakukan tugas yang berat dan berhadapan risiko ombak besar, tidak melunturka­n semangat seorang gadis berbangsa Cina untuk mencapai citacita berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bagi Leftenan Muda Soong Ween Hui, cabaran yang dihadapi sebaliknya dijadikan azimat untuk menimba pengalaman di samping memotivasi­kan diri agar lebih berani.

Anak sulung daripada empat beradik berusia 24 tahun dari Batu Gajah, Perak itu merupakan salah seorang daripada sembilan pelatih wanita di dalam Kapal Latihan Gagah Samudera (KLGS) yang berhadapan ujian getir dilanda ombak besar setinggi enam meter selama tiga hari, ketika dalam pelayaran menuju ke sini.

“Saya asyik muntah dan tidak dapat makan kerana mabuk disebabkan ombak bergelora tetapi ini adalah satu pengalaman yang cukup bermakna bagi saya untuk memperting­katkan keupayaan diri,” katanya ketika ditemu bual, pada Selasa.

KLGS yang membawa 45 kru dan 20 pelatih tiba di Pelabuhan Pending di sini, sekitar jam 10 pagi pada Selasa setelah mengharung­i pelayaran yang mencabar selama tiga hari dari Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Ween Hui, dia amat meminati kerjaya dalam TLDM dan sebab itu memilih untuk menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam bidang Sains Maritim.

“Tentera laut bagus kerana ia memberi kita banyak pengalaman...sejak menjadi pelatih, saya telah mengelilin­gi banyak tempat sehingga ke Vietnam, Thailand, Brunei bahkan Sabah dan Sarawak, selain di tempat lain dalam Malaysia,” katanya.

Justeru, beliau menggalakk­an anak-anak muda khususnya kaum Cina supaya turut memilih TLDM sebagai kerjaya.

“Tiada diskrimina­si dalam TLDM, ia adil dan saksama misalnya sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini, saya dibenarkan bercuti tetapi saya tidak mahu.

“Bagi saya, tidak ada isu dalam TLDM dan banyak benda boleh dipelajari,” katanya.

Selepas menamatkan latihan dalam tempoh empat bulan di KLGS, Wee Hui bakal menjadi pegawai kapal dengan pangkat Leftenan Dya.

 ??  ?? LEFTENAN Muda Soong Ween Hui ketika ditemui di Kapal Latihan Gagah Samudera di Pelabuhan Pending, Kuching.
LEFTENAN Muda Soong Ween Hui ketika ditemui di Kapal Latihan Gagah Samudera di Pelabuhan Pending, Kuching.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia