Utusan Borneo (Sabah)

JAS Miri siasat punca ikan mati di Sungai Padang

-

MIRI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Miri telah mengambil sampel air dari Sungai Padang berhampira­n Kampung Padang Kelulit, Bekenu pada Selasa.

Pegawai JAS Miri Julaiha Jumal berkata, satu pasukan JAS dan NREB pergi ke lokasi aduan seterusnya mengambil sampel air sungai berkenaan.

“Sampel air itu akan dihantar ke Jabatan Kimia di Bintulu untuk dianalisis bagi mengetahui punca ikan mati di sungai berkenaan,” katanya kepada Utusan Borneo pada Selasa.

Kelmarin, penduduk dari Kampung Padang Kelulit mengadu banyak ikan di dalam Sungai Padang terapung dan mati tanpa diketahui puncanya.

Pengadu Sahie Ahad berkata, fenomena ikan mati terapung di sungai berkenaan pernah berlaku pada 2014 disebabkan pencemaran air.

Bahkan, dia tidak menolak kemungkina­n kejadian itu berlaku disebabkan pencemaran air sungai ekoran limpahan bahan buangan dari kilang berdekatan.

Sahie berkata, penduduk kampung menggesa agensi berkaitan memeriksa dengan teliti kejadian di sungai itu agar ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

Bagaimanap­un Julaiha berkata, sampel air perlu dianalisis terlebih dahulu untuk mengetahui punca sebenar ikan di dalam sungai berkenaan mati.

“Analisis ini kemungkina­n mengambil masa sebulan dan penduduk kampung disaran tidak membuat spekulasi liar sehingga keputusan analisis ini diketahui,” jelasnya.

Pihaknya tegas Julaiha, tidak akan berkomprom­i dengan mana-mana pihak sekiranya terbabit dan menjadi penyebab ikan mati di sungai berkenaan.

“Kita bukan hanya mengambil sampel air tetapi meninjau kilangkila­ng berhampira­n sungai itu untuk mencari bukti jika terdapat sisa kilang dibuang ke dalam sungai,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia