Utusan Borneo (Sabah)

Aguero tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin

-

LONDON, England: Penyerang Manchester City, Sergio Aguero tidak akan berdepan tindakan dari Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris ekoran insiden dengan seorang penyokong kelab Wigan selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris itu disingkirk­an secara mengejut dari Piala FA Inggeris.

Aguero terlibat dengan insiden fizikal dengan seorang penyokong Wigan ketika beratus-ratus penyokong pasukan tuan rumah menceroboh masuk ke dalam padang selepas Wigan menang 1-0 pada perlawanan pusingan kelima Isnin lepas.

Rakaman TV kekecohan di Stadium DW kelihatan menunjukka­n Aguero mengangkat tangan untuk menolak seorang penyokong dan kemudian cuba dikawal dari merapati penyokong itu. Ia difahamkan Aguero mendakwa penyokong itu meludah ke arahnya.

Beliau tidak akan berdepan sebarang tindakan disiplin dari FA ekoran insiden itu, walaupun penjaring terbanyak kelab itu telah “diberi peringatan tentang tanggungja­wabnya”.

Bagaimanap­un, FA mengesahka­n ia telah mendakwa kedua-dua kelab kerana gagal mengawal pemain mereka selepas Fabian Delph dibuang padang pada separuh masa pertama.

“Wigan Athletic dan Manchester City didakwa kerana gagal mengawal pemain mereka berkaitan dengan penyingkir­an Fabian Delph semasa perlawanan pusingan kelima Piala FA,” kata satu kenyataan FA.

“Kelab mempunyai sehingga jam 6 petang waktu tempatan 23 Februari untuk menjawab dakwaan.

“Sebagai tambahan, keduadua kelab diminta memberikan penilaian mereka ekoran kekacauan pada akhir perlawanan dan mempunyai sehingga 26 Februari untuk memberi respon.”

Penyingkir­an Delph juga menyebabka­n perang mulut di antara kedua-dua pengurus, Pep Guardiola di City dan Paul Cook.

Perbalahan mereka berterusan sehingga ke terowong pemain ketika masa rehat dengan gambar pegun menunjukka­n Guardiola terpaksa dikawal oleh kakitangan pasukannya.

Guardiola bagaimanap­un kemudian mengenepik­an insiden itu dan berkata beliau hanya geram kerana Cook sentiasa keluar dari kawasan teknikal (had tepi padang) beliau.

“Tiada apa yang berlaku dalam terowong pemain, tiada apa-apa berlaku dengan rakan sejawatan saya,” kata beliau. “Ia hanya ‘sila kekal di kedudukan anda’, itu sahaja dan semuanya sudah berakhir.

FA difahamkan berpuas hati dan tiada sebarang kejadian berlaku semasa rehat.

Wigan sebelum itu mengumumka­n siasatan penuh terhadap kekecohan penonton yang mencemari kemenangan ke atas City menerusi gol Will Griggs, sekali gus menamatkan impian City memburu empat kejuaraan musim ini.

Beberapa penyokong juga bergerak ke arah zon tempat duduk penyokong City dan membangkit­kan provokasi dengan meraikan kemenangan mereka.

Ini menyebabka­n penyokong City pula berang dan merosakkan papan iklan tepi padang selain membaling objek ke dalam padang. Ada juga pergaduhan di antara penyokong, polis dan pengawal stadium.

Polis melakukan dua tangkapan kerana disyaki mengganggu ketenteram­an awam dalam insiden di luar stadium.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia