Utusan Borneo (Sabah)

Najib harap ADAM50 galak kadar kelahiran tinggi

-

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) akan menggalakk­an kadar kelahiran yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia memandangk­an negara ini sedang mencapai kematangan ekonomi.

Perdana Menteri berkata negara yang sedang menuju kematangan ekonomi biasanya akan mengalami penurunan kadar kelahiran.

Malaysia, katanya, kini menghadapi situasi yang sama.

“Jadi, mereka yang ingin melahirkan anak, teruskan berbuat demikian, ini mesej saya kerana kita memerlukan pertambaha­n penduduk,” katanya pada program ‘Bajet 2018 Bersama Rakyat’ di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, Khamis.

Dalam program itu, pelakon dan usahawan Fizo Omar bertindak sebagai moderator dan turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaha­raan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Pada majlis yang sama, Najib turut melancarka­n ADAM50, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018, serta melawat wad bersalin di pusat perubatan itu dan menyerahka­n hamper kepada ibu-ibu yang baru bersalin.

Di bawah ADAM50, bayi yang lahir mulai 1 Jan 2018 hingga 31 Dis 2022 akan menerima dana tabungan permulaan RM200 menerusi unit ASB (bagi Bumiputera) dan AS1M (bukan Bumiputera) selagi didaftarka­n dalam tempoh setahun daripada tarikh kelahiran dan simpanan hanya boleh dikeluarka­n selepas anak itu mencapai umur 18 tahun.

Najib berkata ADAM50, dana pertama dalam sejarah negara ini juga bertujuan menggalakk­an simpanan peribadi untuk ibu bapa muda.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia