Pilih calon berpengalaman pada PRU14
KOTA MARUDU: Bahang Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14) makin hangat walaupun tarikhnya masih belum ditentukan.
Namun masyarakat termasuk di kawasan luar bandar mahukan calon yang diletakkan dalam PRU nanti benar-benar dapat mewakili rakyat.
Seorang pemimpin masyarakat dari Kota Marudu, Masidar Landai menyatakan calon yang dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya haruslah seorang calon yang layak untuk menjadi menteri.
“Saya tahu banyak orang yang berebut menjadi calon termasuk dari kalangan golongan pemimpin muda. Tetapi bagi saya, setiap calon itu haruslah mampu diketengahkan dalam barisan kepimpinan termasuk jika diberi peluang menganggotai Kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ura-ura kemungkinan Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air tidak akan mempertahankan kerusi Kota Marudu pada PRU kali ini.
Katanya, orang yang bakal menggantikan tempat beliau di Parlimen Kota Marudu haruslah juga layak untuk dilantik sebagai menteri.
“Jika kita memilih pemimpin yang tidak berpengalaman dan tidak mempunyai visi membangun Kota Marudu, sudah tentu rakyat tidak memperolehi manfaat jika ditakdirkan menang dalam pilihan raya.
“Oleh itu, calon yang dipilih mestilah seorang yang mempunyai pengalaman mentadbir di peringkat negeri, berpendidikan dan mempunyai visi yang jelas serta berani dan seorang yang memiliki semangat patriotisme.
“Saya menyebut semangat patriotikagarpemimpinyang terpilih kelak mempunyai semangat untuk membela dan mempertahankan nasib dan masa depan rakyat termasuk berkaitan isu tanah dan sebagainya,” katanya yang berasal dari Kg Koromoko.
Antara nama yang disebut sebagai layak untuk bertanding di kawasan Kota Marudu ialah bekas pengarah Kastam Negeri Sabah Dato Dr Janatan Kandok yang kini sudah bersara dari perkhidmatan kerajaan.
“Bagi saya secara peribadi, beliau memiliki kriteria sebagai pemimpin yang berpengalaman, memiliki visi dan semangat patriotik untuk memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.